Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun harga sayur-sayuran yang diletak di bawah kawalan harga telah mengalami penurunan, tetapi lain pula untuk jenis yang harganya tidak dikawal.

China Press melaporkan, sayur-sayuran yang tidak dikawal harganya telah menyaksikan peningkatan harga sebanyak 20 peratus.

Sayur dan buah yang lebih murah sekarang adalah timun tua, limau nipis dan limau kasturi, tetapi banyak sayur lain termasuk terung, sayur berdaun dan sayur kekacang telah menjadi lebih mahal.

Terung sebagai contohnya, berbanding RM5 hingga RM6 sekilogram sebelum ini, harganya telah meningkat ke antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram, malahan RM10.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Huang Jin Fa berkata, harga sayur yang dikawal seperti tomato, sawi hijau (choy sum) dan timun memang telah stabil dan mengalami penurunan antara 50 sen hingga RM1.

Katanya, walaupun harga menurun, tetapi penawaran di pasaran tempatan masih terhad
disebabkan faktor cuaca yang menyebabkan sayur berdaun mudah reput dan disebabkan negara tertentu yang memborong dari Malaysia.

“Berbanding sayuran jenis kekacang, sayuran berdaun lebih mudah reput. Kami akan rugi jika membeli dengan RM6 sekilogram tetapi menjual pada harga siling RM7.

“Penjual sayur justeru mungkin sanggup tidak menjual sayur-sayuran yang dikawal harganya,” katanya.

Mengenai tomato pula, hasil tuaian yang tidak baik di Thailand kerana faktor iklim menyebabkan negara jiran itu mengintai tomato dari Cameron Highlands.

Katanya, permintaan yang tinggi menyebabkan harga tomato mencapai tahap harga siling.

Jelasnya, hasil tomato mungkin tidak dapat memenuhi keperluan tempatan jika permintaan dari Thailand kekal tinggi dan pengeluaran Malaysia terjejas disebabkan faktor cuaca.

“Eksport sayur-sayuran ke luar negara tidak tertakluk kepada kawalan harga, tetapi pihak berkuasa boleh melarang eksport,” katanya.

Menurutnya, harga timun tempatan akan meningkat ke lebih RM5 sekilogram jika harganya tidak dikawal.

“Hakikatnya timun tempatan sekarang sudah jarang kelihatan di pasaran manakala harga untuk timun Jepun yang harganya tidak dikawal telah meningkat ke antara RM6.50 hingga RM7.50 sekilogram,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast