Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini mendakwa bekas menterinya Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan menteri kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz terlibat dalam perbincangan rahsia mengenai urusan projek kontroversi generasi kelima (5G) yang melibatkan Digital Nasional Berhad (DNB).

Semasa sidang media di Dewan Rakyat tadi, Zahidi turut menyindir Saifuddin dengan mengatakan mungkin ada sesuatu disembunyikan kerana ”Saifuddin sebelum ini daripada parti lain, PKR; Saya bersama UMNO”

”Oleh itu, mungkin ada rahsia.

”Sebab itu, saya buat kenyataan akhbar ini kerana saya agak kecewa, sebab apaa? Menteri sebelum ini, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, mereka sudah berbincang dengan menteri kewangan.

”Jadi, menteri dan menteri berbincang; antara menteri KKMM sebelum ini dan menteri kewangan, mereka berbincang dan melaksanakan projek DNB yang melibatkan hampir RM20 bilion ini, tanpa berbincang dengan pihak di bawah,” katanya seperti yang dilaporkan Malay Mail.

Zahidi berkata, beliau dimaklumkan Pengerusi Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (SKMM), Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek terlibat dalam perbincangan, memandangkan perkara spektrum 5G terletak di bawah suruhanjaya itu, sambil menamba, beliau turut “melihat penglibatan Fadhlullah di sini.”

Timbalan menteri itu kesal kerana Fadhlullah juga tidak pernah hadir di Parlimen semasa  beliau perlu menjawab soalan berkaitan isu projek generasi kelima (5G) yang dibangkitkan.

“Jadi sebab itu apabila saya menjawab di Parlimen, saya tidak ada maklumat. Tiada maklumat mengenai perbincangan menteri dengan menteri, tiada maklumat kerana tidak dimaklumkan kepada saya dan juga pengerusi SKMM yang terlibat, juga tidak membincangkannya, kenapa?

”Sepanjang saya menjawab di Parlimen, pengerusi SKMM tidak pernah hadir. Hanya pegawai bawahan yang hadir dan apabila ditanya kepada pegawai bawahan, mereka tidak tahu kenapa monopoli, kenapa Ericsson dan seumpamanya. Jawapan tidak lengkap,” tambahnya.

DNB, yang dimiliki oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan), telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi pihak tunggal yang melaksanakan penggunaan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh Malaysia.

Syarikat Sweden Ericsson pula telah dilantik sebagai pembekal perkakasan rangkaian.

”Projek ini adalah projek rakyat bernilai RM20 bilion dan terdapat juga monopoli di sini. Jadi kita nak tahu, kenapa Ericsson memonopoli? Mengapa DNB memonopolinya?

”Seperti yang kita ingin tahu apa itu pelan mitigasi, pengurusan risiko kerana jika Ericsson muflis, apa yang berlaku kepada projek ini? Jadi rakyat ingin tahu.

”Kita tidak mahu Ericsson, sebuah syarikat antarabangsa muflis, sedangkan tiba-tiba, kita sudah ada projek RM20 bilion. Jadi rakyat perlu bertanggungjawab. Jadi kita jangan berahsia,” katanya.

Zahidi berkata, beliau juga menerima aduan daripada beberapa syarikat tempatan yang mahu bersaing untuk tender projek itu, yang didakwa melakukan penipuan tender.

”Jadi kita perlu tahu. Jadi jika rakyat bertanya, saya perlu menjelaskan. Jadi janganlah kita berahsia.

“Ia seperti ini. Menteri memanggil kami. Kita tidak boleh memanggil menteri. Jadi menteri panggil kita. Kadang-kadang, menteri-menteri ini, mereka rasa mereka lebih bijak daripada kita. Kami faham itu. Tetapi dia perlu menghubungi kami, yang tidak begitu bijak,” katanya semasa sidang media.

Minggu lalu, Zahidi memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kementerian Kewangan bertegas untuk mengendalikan pelancaran 5G Malaysia walaupun mengetahui pembentukan DNB akan memonopoli industri telekomunikasi di negara ini.

Beliau berkata, pegawainya bertemu dengan wakil dari DNB dan diberitahu DNB tidak berminat dengan monopoli, tetapi Kementerian Kewangan yang mahu mengendalikan pelancaran 5G.

Zahidi menambah, kementeriannya hanya menyediakan perkhidmatan dalam spektrum 5G.

Beliau berkata, soalan mengenai pelaburan perlu disalurkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

DNB telah berada di bawah pemerhatian awam kerana kekurangan ketelusan dan penubuhannya, pentadbiran dan pengurusan kewangan.

Ahli Parlimen pembangkang telah menegaskan DNB mendapat dana daripada Kementerian Kewangan dalam bentuk bon dan menimbulkan kebimbangan terhadap potensinya untuk menjadi satu lagi liabiliti kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

DNB kini menawarkan syarikat telekomunikasi tempatan percubaan percuma infrastruktur 5Gnya, yang setakat ini hanya diambil oleh Telekom Berhad.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan muktamad untuk menggunakan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi pelancaran rangkaian 5G masih belum selesai kerana proses rundingan antara DNB dan syarikat telekomunikasi sedang dikendalikan oleh SKMM. – MalaysiaGazette