ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin melakukan sesi penggulungan Bajet Perak 2022 di Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 88.24 peratus individu dewasa di Perak telah menerima dos vaksinasi Covid-19 yang lengkap sehingga 12 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, baki yang belum menerima ialah 11.76 peratus atau 219,053 individu.

Jelas beliau, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk meningkatkan peratusan vaksinasi namun terdapat beberapa isu yang perlu dipertimbangkan seperti individu yang menolak untuk divaksinasi.

“Isu lain adalah masalah kesihatan yang tidak melayakkan individu menerima vaksin  dan telah menerima vaksin di luar Perak.

“Sehubungan itu, usaha berterusan dilaksana termasuk tawaran vaksinasi secara walk-in dan hebahan info secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Bajet Perak 2020 pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mohd Akmal menambah, jumlah penduduk Perak berumur 18 tahun ke atas yang tidak mengambil vaksin adalah 196,751 orang atau 10.6 peratus daripada 1,862,700 orang penduduk dewasa 18 tahun ke atas.

Menurut beliau, tiada data spesifik mengenai alasan mengapa mereka masih belum mendapat vaksin.

“Antara faktor tidak mengambil vaksin yang diketahui adalah atas sebab perubatan yang disahkan oleh doktor yang merawat.

“Lain-lain sebab adalah enggan mengambil vaksin atas pelbagai alasan dan mereka yang belum mengambil vaksin Covid-19 boleh mendapatkannya di klinik atau hospital swasta yang berdaftar dengan Protect Health Corporation atau di 74 buah Klinik Kesihatan di seluruh negeri,” katanya. – MalaysiaGazette