Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (tengah) bersama timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tiga kiri) melihat barangan makanan yang dibekalkan kepada operatur perkapalan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di Antara FAMA Corporation Sdn. Bhd. dan Alpha Resources Berhad Group di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui jabatan dan agensiĀ  kementerian terus berusaha mengurangkan pengaruh orang tengah dengan mewujudkan lebih 100 buah pusat pengumpulan hasil pertanian di seluruh negara.

Namun, usaha bersepadu itu turut menuntut kerjasama dalam kalangan petani, penternak dan nelayan secara keseluruhan, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurutnya, penternak, petani dan nelayan menggunakan dana yang disediakan kerajaan dan tidak bergantung kepada elemen orang tengah.

“Kami di MAFI mengolah pelbagai program, contohnya bantuan dana yang disalurkan melalui Agrobank dan melalui TEKUN ,” jelasnya.

Beliau berkata, pengaruh orang tengah dalam rantaian pemasaran sektor agromakanan turut menjadi punca kos pengeluaran bagi petani dan penternak semakin meningkat.

“Kita tahu peranan orang tengah yang mempengaruhi harga pasaran produk agromakanan negara, apatah lagi ketika input barangan pertanian, contohnya racun, makanan ternakan dan baja yang ketika ini meningkat tinggi.

“MAFI mempunyai rantaian pemasaran, seperti FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mengolah pemasaran melalui pasar borong, pusat pengagihan, pasar tani dan sebagainya tapi tetap tidak dapat menghapuskan terus pengaruh orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perjanjian persefahaman yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn. Bhd, Faidz Afizi Mohamed dan Pengarah Eksekutif Syarikat Alpha Ocean Resources Berhad, Simon Pua di Bangunan Lembaga Pertubuhan Peladangi hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast