ADUN Trong, Jamilah Zakaria. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

IPOH – Seorang wakil kerajaan mencadangkan agar pelajar-pelajar baharu yang ditawarkan masuk ke sekolah asrama diberikan kursus atau taklimat khas dalam usaha menangani kes buli di Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Jamilah Zakaria berkata, pelajar tersebut mungkin boleh disediakan kursus mempertahankan diri atau taklimat bagaimana membuat laporan ke warden asrama sekiranya mereka dibuli rakan sekolah.

“Saya hendak bawa satu isu untuk perhatian YB Exco dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Isu buli ini ada melibatkan beberapa sekolah dan sering ditutup (kesnya).

“Jadi saya mengharapkan satu tindakan diambil oleh JPN supaya ada fasa-fasa tertentu untuk memastikan pelajar yang sebelum masuk asrama diberi taklimat dan kursus bagaimana hendak mempertahankan diri dan cara melaporkan kepada warden.

“Ini kemungkinan tidak berlaku perkara ini kerana pelajar takut melaporkan apa yang berlaku kepada dirinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan Bajet Perak 2022 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Saidi dalam jawapannya memuji cadangan yang bernas itu dan akan mengambil kira pendekatan yang disarankan oleh Jamilah.

Beliau berkata, bagi menangani kes buli, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama JPN bagi melihat pematuhan proseder operasi standard (SOP) yang mana akan cuba memastikan sebelum pelajar baharu masuk asrama terdapat sesi pengenalan supaya kes buli tidak tidak berulang lagi.

Kelmarin, seramai 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar yang terlibat dalam kes buli seorang pelajar di insititusi pendidikan itu ditamatkan pengajian berkuatkuasa serta-merta.

Beberapa kelihatan menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, menerima kecaman orang ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember lalu melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar terlibat dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette