Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengarahkan ahli-ahli Parlimennya menentang Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dibentangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selagi kerajaan tidak melakukan sesi libat urus bersama wakil rakyat pembangkang, selagi itu mereka tidak akan memberi laluan mudah untuk pindaan Akta 342 dilakukan di Parlimen.

“Pada dasar, saya tentu berunding dengan pemimpin parti lain, tetapi Keadilan, saya akan arahkan semuanya harus bangun menentang kanun undang-undang ini (pindaan Akta 342).

“Kalau pun ada pindaan, pindaan itu tidak boleh dipaksakan hari ini tanpa libat urus dan meneliti pindaan terlebih dahulu,” katanya ketika berucap ketika Sekretariat Solidariti Rakyat membantah pindaan Akta 342 di Jalan Parlimen, di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima memorandum daripada wakil Sekretariat Solidariti Rakyat, Tharma (dua kanan) bagi membantah cadangan pindaan Akta 342 yang menaikkan jumlah kompaun di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 DISEMBER 2021.

Terdahulu Jurucakap Sekretariat Solidariti Rakyat, Thamaran menyerahkan memorandum Lawan Pindaan Akta 342 kepada Anwar yang juga Ketua Pembangkang sebelum memasuki kawasan Parlimen.

Anwar juga melahirkan rasa kesal dan mendakwa kerajaan melanggar perjanjian persefahaman yang dimeterai sebelum ini dengan wakil rakyat pembangkang dalam sesi libat urus sebelum sesuatu pindaan dilakukan.

“Prinsipnya termasuk dalam memorandum persefahaman mesti ada libat urus, mesti ada rundingan teliti, bukan nak pakai satu dua wakil dia, baik daripada Pakatan Harapan (PH) ataupun kerajaan.

“Saya juga ikuti usul yang telah dikemukakan, sebab itu dari awal hari pertama saya umumkan tanpa sebarang libat urus, tanpa sebarang pindaan besar, kita hari ini akan menolak Akta 342 (pindaan).

“Jadi saya dengar, belum lagi rasmi, mahu turunkan sedikit sebanyak tentang hukuman, saya tidak boleh terima itu,” tegasnya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas menerima memorandum daripada Sekretariat Solidariti Rakyat yang membantah cadangan pindaan Akta 342 dengan menaikkan jumlah kompaun di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 DISEMBER 2021.

Menurutnya, campur tangan ahli Parlimen pembangkang dalam urusan mesyuarat di Parlimen tidak memadai tanpa kebangkitan rakyat untuk menuntut keadilan dan kesaksamaan.

“Saya hargai semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda. Lawan ini kerana saya tidak fikir, kita guna satu dua urusan sahaja, urusan Parlimen ada, tapi mesti ada juga kebangkitan rakyat yang dipelopori oleh golongan muda.

“Golongan muda yang lebih kuat idealisme dia dan mempertahankan prinsip, bukan untuk menjadi selamanya politik mainan orang-orang lain, ini penting prinsipnya,” katanya.

Katanya, wakil rakyat mesti mendapat mandat daripada rakyat sebelum membawa sebarang akta mahupun dasar yang sebelum ini dilihat pilih kasih antara rakyat bawahan dengan golongan pimpinan negara.

“Kita mesti faham semangat rakyat yang menentang hukuman antara dua darjat ini. Sekarang undang-undang sudah ada dan kita tahu bila Ahli Parlimen bersidang, bila ahli Parlimen PH semua dihukum.

“Setiap orang dia hukum, kompaun RM1,000 hingga RM1,500. Bila pemimpin negara berhimpun ribuan orang, satu saja hukuman kompaun RM1,000 saja.

“Ini tidak termasuk benda lain, nelayan, petani dan orang miskin yang didera termasuk hukuman penjara dan hukuman yang tidak masuk akal sama sekali,” katanya.

Katanya, tindakan Khairy Jamaluddin membawa pindaan Akta 342 bukan sahaja dilihat terburu-buru bahkan terserlah bagaimana kerajaan rakus dan angkuh dengan kuasa yang diperolehinya selepas genap 100 hari menjadi kerajaan.

“Ini satu contoh bagaimana kerajaan kerakusan dan keangkuhan kuasa. KKM (Kementerian Kesihatan) patut lihat soal vaksin, kelewatan yang menyebabkan kematian yang banyak dan sengsara rakyat begitu banyak.

“Bukan sahaja hukum rakyat, dari segi filosofi kekuasaan ini, bila kita tengok orang, itu masalah rakyat. Rakyat pula rakyat bawahan, ini kalau undang-undang semuanya ke arah itu.

“Kalau tindakan penguatkuasa, itu tepat kepada rakyat termasuk orang muda, saya lalui ini lama saya tahu, tetapi yang kita nak bawa perubahan ini ialah undang-undang yang prihatin dan empati kepada derita rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast