ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin melakukan sesi penggulungan Bajet Perak 2022 di Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 DISEMBER 2021.

IPOH – Seramai 193 guru tidak mengambil vaksin di Perak berdasarkan data e-Operasi pada 13 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, bagi guru yang enggan divaksin, mereka tetap perlu hadir ke sekolah namun tidak berada di bilik atau kawasan yang sama dengan murid atau warga sekolah yang telah menerima vaksin lengkap.

Menurut beliau, mereka mesti melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dan tidak dibenarkan melaksanakan meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

“Mereka juga perlu menyediakan bahan-bahan pembelajaran kepada murid yang hadir ke sekolah dan juga kepada murid yang melaksanakan pembelajaran kendiri di rumah.

“Mereka juga perlu sentiasa memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Bajet Perak 2020 pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin pada sidang media selepas selesai Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

Mohd. Akmal memberitahu, berdasarkan maklumat, terdapat 69 orang guru  Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang masih enggan untuk divaksinasi dengan pelbagai alasan.

Ujar beliau, kerajaan negeri masih memberi peluang kepada guru KAFA yang terlibat untuk mendapatkan vaksin sehingga akhir tahun ini.

“Kerajaan negeri juga masih menunggu keputusan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam berkaitan perkara ini agar diwujudkan penyelerasan di seluruh negara berkaitan perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette