MELAKA – Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) bermula 4 Disember lalu menyaksikan trend penurunan harga jualan barangan keperluan di Melaka.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, keadaan itu berbeza dengan beberapa jenis barangan seperti ayam, telur dan sayur yang dilaporkan mengalami kenaikan harga mendadak.
Menurutnya, sebagai contoh, harga ayam standard ketika ini dikawal pada tahap RM9.30 sekilogram namun majoriti peniaga menjualnya pada harga sekitar RM9.
“Ketika PJKM, peniaga menawarkan ayam standard sehingga RM8 sekilogram, jauh lebih murah dari harga pada bulan November iaitu sekitar RM9.50 hingga RM10.50 sekilogram.
“Ini menunjukkan keberkesanan program yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha mengawal harga barangan keperluan di pasaran ketika situasi semasa yang agak mencabar ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang ini.
Mengulas lanjut Norena berkata, pihaknya bagaimanapun akan terus melakukan penguatkuasan berterusan bagi memastikan perniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Tambahnya, Melalui Ops Menu dan Ops Pasar (Sayuran) yang telah dijalankan sejak 6 November lalu, tujuh kes dicatat membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang Sukat 1972.
“Setakat semalam, sebanyak 32, 206 premis perniagaan telah diperiksa meliputi peruncit, pemborong dan pengilang serta peladang selain sebanyak 617 aduan rasmi dilaporkan berkaitan harga barang,” katanya.
Jelasnya lagi, sebanyak 289 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM108,906.69 dan kompaun sebanyak RM298,550 dikeluarkan melibatkan semua kesalahan di bawah peruntukan undang-undang KPDNHEP.
“KPDNHEP Melaka mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut dan aduan boleh disalurkan kepada Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 selain melalui aplikasi Whatsapp di talian 019 – 279 4317.