KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan dari Australia, Taylor Regan menamatkan baki kontrak 12 bulan bersama Sarawak United walaupun berjaya membantu pasukan itu mara ke saingan Liga Super Malaysia pada musim depan.
Melalui luahan hantaran di laman Instagram pemain itu, Regan berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain daripada bertindak sedemikian selepas pengurusan kelab seperti tidak mengambil endah perkara yang berlaku di dalam pasukan.
“2021 adalah musim yang dianggap berjaya dan menyeronokkan, tetapi kini tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal
“Kami (pasukan) telah mencapai banyak kejayaan pada tahun ini dan saya sendiri telah membina persahabatan seumur hidup bersama kumpulan pemain dan kakitangan di sini.
“Ini adalah keputusan yang sukar kerana saya masih mempunyai baki kontrak selama 12 bulan. Tetapi keadaan kewangan yang menjadi isu kelab membuatkan saya tiada pilihan lain,” tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi pemain import Sarawak United, Sandro da Silva sempat meluahkan pendapat dan kekecewaan yang melanda pasukan itu.
“Malang sekali perancangan oleh kelab tidak menjadi dan kini mereka kehilangan ramai pemain yang hebat,” ulas Sandro.
Sebelum ini, isu kewangan membelenggu Sarawak United yang juga naib juara Liga Premier sejak beberapa bulan lalu terutama ketika saingan Piala Malaysia sedang berlangsung.
Dianggap sebagai pasukan underdog, Sarawak United bagaimanapun masih berjaya menghasilkan beberapa keputusan memberangsangkan termasuk ketika menewaskan Penang FC dan Sri Pahang FC sehingga berjaya mara ke suku akhir pertandingan tersebut pada musim ini. – MalaysiaGazette.