Rahamat (duduk, kiri) menandatangani perjanjian usahasama dengan Pengarah Kembara Ventures One Sdn. Bhd., Idham Ismail sambil disaksikan Boon Khin (berdiri, kiri) dan Mohd Marzuki.

KUALA LUMPUR – Koperasi Tenaga Nasional Berhad (Kop TNB) mengambil inisiatif dalam mengadaptasi perniagaannya dengan menubuhkan anak syarikat KopTown Digital Sdn. Bhd. sebagai langkah untuk turut mengikut perubahan semasa dalam operasi pendigitalan.

Pengerusinya, Rahamat Abdullah berkata, pendekatan itu diambil sebagai inisiatif Kop TNB untuk berkongsi kaedah pentadbiran, pengurusan keanggotaan dan kewangan kepada koperasi-koperasi lain.

Katanya, kaedah itu juga boleh dikatakan perkhidmatan yang ada di koperasi berkenaan seperti Pembiayaan, Travel & Tours, Takaful, Perhotelan, Ar-Rahnu dan platform atas talian iaitu Kommerce yang turut dijalankan.

“Memandangkan operasi pendigitalan dalam perniagaan, koperasi dan ekonomi kini satu keperluan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka masa panjang, kita mengambil inisiatif ini dalam mengadaptasi perniagaan mengikut perubahan semasa.

“Justeru, kita tubuhkan anak syarikat KopTown Digital Sdn. Bhd, yang akan membangunkan platform keanggotaan dan kewangan, di mana pemilik IP perisian tersebut adalah koperasi sendiri.

“Perisian bagi perniagaan berkenaan tidak terhad untuk itu sahaja, malah boleh dibangun dan diintegrasikan dalam satu sistem,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Aspirasi Transformasi Bisnes Kop TNB ke arah Peneraju Digital Keluarga Koperasi di sebuah hotel di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan, Tan Boon Khin; Yang Dipertua Pelitawanis TNB Kebangsaan, Datin Noor Aizah Karim; Pengerusi Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA), Zaharuddin Alias; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koperasi TNB, Mohd Marzuki Yasoa.

Pada majlis itu, Kop TNB turut menyampaikan Anugerah Pencarum kepada anggota yang mempunyai simpanan paling tinggi dan Anugerah Keanggotaan Terbaik Koperasi kepada anggota yang paling lama menjadi ahli.

Beliau juga turut menyampaikan bayaran pampasan tuntutan takaful bagi pihak Kop TNB berjumlah RM386,378 kepada beberapa penerima yang telah mencarum.

Menurut Rahamat, sepanjang 70 tahun penubuhan sehingga kini Kop TNB mempunyai seramai 19,050 anggota yang melibatkan pekerja tetap TNB dan anak syarikatnya.

Kata beliau, sehingga 31 Disember tahun lalu, asetnya telah mencecah RM345 juta dan kini Kop TNB berada di kedudukan ketujuh dalam Indeks Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia.

Dalam ucapannya juga, Rahamat berkata, Kop TNB akan melancarkan MySenang.my bagi membolehkan pengguna khasnya anggota TNB memperbaharui cukai takaful dan cukai jalan secara atas talian.

“Platform ini menawarkan kaedah memperbaharui cukai jalan kereta dan motosikal cara baharu yang mudah, pantas serta menjimatkan.

“Melalui pembaharuan takaful di platform ini, pengguna akan dapat menerima diskaun lima peratus dan rebat tiada tuntutan sehingga 20 peratus.

“Terima kasih kami ucapkan kepada UNIC atas kesudian menjadi duta MySenang.my dan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang telah memperuntukkan dana bagi membiayai promosi ini,” katanya.

Bagi menggalakkan pengguna memperbaharui takaful dengan Kop TNB, pihaknya telah memperuntukkan kira-kira RM200,000 sejak 2016 dalam bentuk hadiah cabutan bertuah seperti motosikal, televisyen, smartphone dan iphone bagi menghargai pelanggan. – MalaysiaGazette