PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga India yang bekerja di negara mengalami detik cemas apabila dilarikan, dibelasah dan diperas ugut oleh ‘pegawai Imigresen’ dan rakannya.

Malah, majikan kepada mangsa turut diugut bagi menjelaskan sejumlah bayaran untuk melepaskan pekerjanya itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Bin Mohd Nor @ Saleh berkata, pada 8 Disember lalu pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki warganegara India mengatakan beliau telah ditahan oleh dua orang suspek lelaki tempatan yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna gelap di Taman Muhibbah, Banting.

“Salah seorang suspek telah perkenalkan dirinya sebagai pegawai Imigresen daripada Shah Alam kepada mangsa sebelum meminta mangsa supaya menunjukkan dokumen perjalanannya kepada mereka.

“Apabila mangsa gagal menunjukkan pasport, mangsa telah dipaksa masuk ke dalam kereta dan dibawa ke kawasan Klang, Selangor,” katanya dalam kenyataan tengahari ini.

Tambah beliau, semasa dalam perjalanan, mangsa telah dipukul dengan menggunakan kasut dan suspek menghubungi dan meminta wang sebanyak RM3,000 daripada majikan mangsa jika mahu mangsa dilepaskan.

Menurut Ahmad Ridhwan, bimbang akan keselamatan mangsa, majikan warga India yang menggajikan mangsa memasukkan wang sebanyak RM1,500 ke dalam akaun suspek yang mana mangsa telah dilepaskan di hadapan Pasaraya Mydin di Klang.

“Bertindak atas laporan pengadu dan maklumat, pada 15 Disember lalu sepasukan polis daripada Bahagian Jenayah Berat D9 IPK Selangor bersama BSJ IPD Kuala Langat telah berjaya membuat tangkapan terhadap dua lelaki tempatan di sekitar daerah Klang.

“Tangkapan suspek pertama dibuat jam 1.45 petang di Sungai Klang, manakala suspek kedua ditangkap jam 4.15 petang di Jalan Kapar, Klang,” ujarnya.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas suspek pihak polis berjaya mendapatkan semula barangan milik mangsa iaitu telefon bimbit, kad ATM serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

“Hasil soal siasat awal ke atas suspek, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan sembilan kes samun dan menyamar penjawat awam terhadap warganegara asing yang aktif di kawasan Kuala Langat.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan warga negara asing yang keluar berseorangan di luar sebelum menculik serta membawa mangsa ke kawasan Klang dan akan memeras ugut majikan mangsa untuk mendapatkan wang,” ujar beliau.

Malah katanya, kedua–dua suspek berumur awal 30-an dan semakan jenayah mendapati masing–masing mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Jelas beliau, mereka telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Telok Datok dan dipohon perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kesemua suspek dibenarkan mahkamah supaya ditahan reman selama tujuh hari di Lokap Balai Polis Banting Kuala Langat bermula 16 Disember ini hingga 22 Disember 2021 untuk membantu polis melengkapkan siasatan bagi tindakan lanjut.

“Kes sedang disiasat dibawah seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan seksyen 170 Kanun Keseksaan menyamar penjawat awam,” kata Ahmad Ridhwan. – MalaysiaGazette