Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Prosiding penggubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang membabitkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan bersambung di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Februari depan.

Wang itu didakwa diterima Muhammad Shafee daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh baru perbicaraan pada 10, 15 dan 22 Februari serta 1, 28 dan 29 Mac 2022.

Beliau membuat ketetapan itu di hadapan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan peguam bela, Sarah Abhishegam yang mewakili Muhammad Shafee.

Turut hadir ketika pengurusan kes hari ini ialah Muhammad Shafee namun belum dapat dipastikan jika aplikasi MySejahtera beliau sudah bertukar status risiko rendah.

Sebelum ini, Muhammad Shafee dan Najib telah diletakkan bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) di rumah sehingga 20 Disember ini.

Bagaimanapun Najib hadir secara fizikal perbicaraan 1Malaysia Development Berhad manakala Muhammad Shafee masih tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan mahkamah memandangkan statusnya masih berwarna kuning.

Muhammad Shafee berdepan dengan dua tuduhan pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau menerima cek berjumlah RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014 dan berdepan dengan dakwaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Jika sabit Muhammad Shafee boleh dihukum denda RM5 juta atau penjara lima tahun.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967. -MalaysiaGazette