GCR civil servants salary scheme CUEPACS
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa selepas seorang penjawat awam dikenakan tindakan mahkamah kerana berniaga tanpa kebenaran semasa berkhidmat sebagai penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, CUEPACS menghormati keputusan mahkamah kerana yakin dengan sistem kehakiman yang mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“CUEPACS difahamkan penjawat awam tersebut telah berkhidmat selama 25 tahun dengan cemerlang.

“Bagaimanapun komitmen yang tinggi kerana perlu membesarkan anak-anak dengan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan beliau terpaksa dan perlu melakukan dua pekerjaan iaitu berniaga bagi menyara kehidupan keluarga dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kes seorang pembantu tadbir hospital kerajaan dihukum RM8,000 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran ketika masih lagi bergelar penjawat awam.

Tertuduh yang merupakan pembantu tadbir Gred N22 didakwa melakukan perbuatan itu walaupun pada masa sama terikat dengan undang-undang tidak boleh mengambil bahagian dalam perniagaan.

Menurut Adnan, seorang pekerja terpaksa melakukan lebih daripada dua pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarga sudah menjadi norma biasa dan tidak kira sektor swasta atau awam, perkara itu dilakukan kerana skim gaji yang diterima tidak kompetitif berbanding dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Ia bukan mengenai gaya hidup seseorang kerana keperluan hidup ketika ini pun sukar untuk dipenuhi berikutan pendapatan boleh guna rakyat yang rendah dek kerana skim gaji yang masih lagi rendah.

“Di sektor awam permulaan gaji adalah RM1,200 sebulan manakala gaji minimum di sektor swasta juga bermula RM1,200 sebulan dan dengan skim gaji yang rendah ini sudah pasti para pekerja perlu melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk meningkatkan taraf hidup dan kualiti mereka, jika hanya merharapkan gaji sedia ada, sudah tentu tidak mencukupi.

“Justeru itu adalah wajar kerajaan menyemak semula skim gaji yang diterima oleh para pekerja ketika ini baik di sektor awam dan juga swasta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati penjawat awam yang mahu menjalankan perniagaan atau pekerjaan tambahan sentiasa mematuhi peraturan sedia ada yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, perkara berkenaan perlu dimaklumkan melalui permohonan secara bertulis kepada ketua jabatan masing-masing.

Dalam masa yang sama beliau juga menyarankan penjawat awam memastikan kerja hakiki mereka tidak terjejas dan terganggu berikutan penglibatan dalam perniagaan atau pekerjaan kedua.

Keutamaan harus diberikan kepada perkhidmatan masing-masing agar tiada perkara berbangkit berlaku, tambah beliau.

Katanya, CUEPACS berharap ketua jabatan sentiasa mengingatkan mengenai perkara itu kepada kakitangan masing-masing.

“Sekiranya berlaku permasalahan, ketua jabatan haruslah bertindak mengikut pertimbangan yang baik dan adil kerana setiap masalah yang berlaku boleh diselesaikan di peringkat jabatan masing-masing tanpa perlu dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi,” jelas Adnan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau nak gaji tinggi, jd ahli politik jaa..kalau nasib baik boleh jd duta bertaraf menteri..skrg ni semua bertaraf menteri..makan gaji buta jaa

Comments are closed.