Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap pada Majlis Perasmian Sayap sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Terlalu banyak menuding jari merupakan salah satu kelemahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

Selain itu kata Timbalan Presiden itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, parti itu juga dilihat masih mengamalkan politik lama selain kurang mendekati pengundi (kurang engagement).

“Kita terlalu banyak “blame game” (permainan menyalahkan)di Melaka. Kita banyak ‘menuding jari’, tapi tidak lihat kepada sumbangan kita sendiri. Kita kurang ‘D.I.Y” dalam gerakan kita. Do it yourself, kurang. Kita suka tengok orang buat kerja; supaya mudah kita salahkan dia kalau benda tak jadi. Setuju?

Model politik lama. Kita selalu seronok-seronok dengan kumpulan kita sendiri. Pergi Melaka. Kumpul sama sendiri. Tapi tidak turun mendekati pengundi. Tidak semua, saya boleh kenal siapa yang betul-betul buat kerja, tapi masih ramai yang amal cara politik lama ini. Engagement kita kurang.

 Menuding jari dan menyalahkan jentera tempatan. Kita perlu akui kita tidak kuat di semua tempat. Ada kawasan, kita perlukan pemerkasaan rakan-rakan dari luar.

”Semangat kebersamaan mesti ada. Jangan terlalu pantas membuat tuduhan dan serangan. Ambil masa untuk meneliti keadaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian  Perhimpunan Agung Tahunan Parti bagi Sayap, hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal mengakui PPBM kekurangan ilmu pilihan raya namun suka menjadi very important person (VIP).

Jelas beliau, dua asas pilihan raya adalah strategi menyusun kerusi untuk dipertandingkan dan meletakkan bendera sewaktu berkempen.

Malah ujarnya lagi, semangat berpasukan Bersatu semasa PRN Melaka juga tidak utuh.

“Semangat berpasukan (team spirit) kita masih longgar. Berdasarkan maklum balas di bawah, mereka suka cara kita berkempen. kita ambil pendekatan sederhana, santai dan tenang. Tapi, ‘outreach’ kita tidak merata,” tambah Ahmad Faizal.

Kelemahan-kelemahan ini kata Ahmad Faizal, mengakibatkan Bersatu tewas di 26 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, meskipun pada awalnya  menjangkakan potensi kemenangan.

“PRN Melaka membuktikan, ‘angin sokongan’ kepada ‘Abah’ dan Perikatan Nasional sudah padu dan kuat; namun jentera dan outreach kita mesti juga diperkukuh. Jentera asas kita seperti ‘counting agent’ kena diperkukuh.

“Kita perlu minta mereka yang ‘bersama’ kita secara senyap, keluar dan sumbangkan tenaga kepada parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PPBM itu turut menegur sebahagian ahli yang lupa perjuangan parti selepas menyandang jawatan.

“Dalam kita melakukan persiapan untuk PRU-15; kita mesti bersedia untuk melakukan muhasabah dan penilaian diri. Bukan sahaja untuk Srikandi dan Armada tetapi untuk seluruh kepimpinan parti. Termasuk diri saya sendiri.

“Kita amalkan perkara-perkara yang kita ‘musuhi’ dulu, sewaktu kita tidak mempunyai jawatan dan kedudukan. Kita mesti cepat menolak segala kelemahan yang melalaikan. Jika mereka bergerak dengan kesombongan. kitalah pembawa jalur budi dan kesederhanaan,” tambah beliau. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast