Penduduk meredah banjir berikutan hujan lebat yang mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Hulu Langat ditenggelami air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.18 juta kepada mangsa-mangsa bencana melalui agensi-agensi di bawah KKMM dan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa  telah meminta kementeriannya untuk mengambil tindakan serta merta dengan menggerakkan semua aset, bantuan dan kakitangan termasuk Komuniti Keluarga Malaysia untuk membantu penduduk di kawasan terlibat banjir sejak semalam.

Setakat ini, KKM katanya telah menggerakkan sebanyak 12 buah kenderaan pacuan empat roda dan membuka pusat penempatan sementara (PPS) seperti yang disediakan Finas di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang.

PPS berkenaan boleh menempatkan sehingga 1,000 mangsa banjir.

“Pada masa yang sama, kerjasama juga dijalinkan dengan Rumah Prihatin @Grand Seasons, Kuala Lumpur yang menyediakan bantuan sejumlah 2,000 pek makanan setiap hari serta 50 bilik penginapan sementara untuk mangsa banjir.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan di Rumah Prihatin @Grand Seasons, Kuala Lumpur melalui talian bebas tol 1800-88-7997 atau talian Bilik Gerakan Bencana KKMM di 03-88618427,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Annuar memaklumkan, MyCreative Ventures di bawah KKMM turut menyumbangkan 2,000 unit Kotak Kasih berupa bakul makanan dengan kerjasama Shopee Malaysia untuk mangsa-mangsa banjir.

Kementerian juga ujar beliau, telah mengenal pasti seramai 130 buah keluarga warga KKMM dan agensi menjadi mangsa banjir dan bantuan segera berbentuk makanan dan pakaian turut disalurkan kepada mereka.

Tambah Annuar semua Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di negeri-negeri yang terjejas banjir juga sedang bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan pihak bomba dalam melaksanakan usaha memulihkan perkhidmatan Internet di kawasan yang terlibat.- MalaysiaGazette