KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik mengetuai jentera parti untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat dengan bencana itu.
Perkara itu diumumkan Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Perwakila MCA di ibu negara, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan banyak kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor dinaiki air.
“Saya dengan ini mengarahkan dengan rasminya di depan perwakilan MCA bahawa Setiausaha Agung BN (Dr. Zambry) akan mengetuai misi untuk membantu mangsa banjir bagi pihak BN.
“Bukan sekadar MCA, UMNO, MIC atas nama BN akan menggerakkan jentera untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat.
“Malah, UMNO telah mengerahkan di bahagian masing-masing untuk membantu turun menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, BN harus menterjemahkan keprihatinan parti itu kepada rakyat.
Katanya, kerajaan melakukan sesuatu melalui jabatan dan agensinya, tetapi kerana BN lebih dekat di hati rakyat, maka BN wajib memberikan bantuan supaya kita terus dekat dan diterima oleh rakyat,” katanya.
Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam ucapan berkata, seluruh jentera parti itu akan turun ke semua kawasan bagi membantu mangsa banjir. – MalaysiaGazette