Seorang bekas anggota Polis Bantuan menangis gembira apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Segamat daripada tuduhan merogol remaja berusia 15 tahun, empat tahun lalu.

SEGAMAT – Seorang bekas anggota Polis Bantuan menangis gembira apabila beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Segamat daripada tuduhan merogol remaja berusia 15 tahun, empat tahun lalu.

Hakim Norina Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohamad Abdul Hafiz Abdul Kadir 31, pada akhir kes pendakwaan.

“Selepas mendengar dan mempertimbangkan keterangan pihak-pihak sepanjang perbicaraan, di akhir kes pendakwaan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Dengan ini, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil untuk bela diri,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol perempuan yang berusia 15 tahun ketika kejadian, di tepi jalan di Tan Perindustrian Lapis, di sini, antara jam 8 malam hingga 9.30 malam, Mac 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkaman memerintah jumlah wang jaminan sebanyak RM10,000 dibayar semula kepada tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman mengemukakan tujuh saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak Julai 2020.

Tertuduh diwakili peguam Mathan Anandaram. – MalaysiaGazette