Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit pindaan 2021 (Akta 342) bacaan kali kedua dan ketiga ditangguhkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penangguhan itu dibuat berikutan keputusan dan saranan Jawatankuasa Pemilih Khas untuk kerajaan menangguhkan pindaan tersebut.

“Setelah saya bincang dengan Perdana Menteri tadi dan ketua Pembangkang maka mengambil tumpuan kepada masalah bencana banjir buat masa ini saya pohon untuk mengambil ketetapan yang telah dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas atas semangat bipartisan bahawa menurut Peraturan 62 saya mohoh mencadangkan RUU ini pindaan 2021 pada hari ini ditangguh bacaan kali kedua dan ketiga ke mesyuarat akan datang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat ditambah sehari bagi membahaskan pindaan Akta 342 yang membabitkan peningkatan kompaun bagi individu dan syarikat yang melanggar SOP Covid-19.

Tambah beliau, pindaan yang dicadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) amat penting untuk diterima rakyat kerana pindaan itu berkaitan dengan langkah-langkah kesihatan awam yang bukan sahaja  diperlukan kerajaan untuk menangani penularan Covid-19 tetapi juga penyakit berjangkit lain.

“Oleh yang demikian saya telah bentang pada Jawatankuasa Pilihan Khas tadi segala butiran dan perincian berkenaan pindaan ini termasuklah peraturan dan garis panduan yang diperlukan dalam pindaan.

“Kita telah mendengar pandangan daripada kumpulan pakar yang telah memberikan cadangan dan nasihat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas dan saya telah dimaklumkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas bahawa Jawatakuasa Pemilihan Khas telah membuat keputusan sebulat suara minta saya tangguhkan pindaan ini bukan disebabkan tidak disokong secara dasarnya.

“Tetapi ada beberapa perincian yang masih lagi perlu pada sesi akan datang supaya dipersetujui bersama. Saya setuju dengan ini kerana Akta 342 ini sangat penting untuk kita dapat pematuhan daripada rakyat,” ujarnya.

Sebelum ini, KKM mencadangkan untuk menaikkan kadar kompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 untuk individu yang melanggar SOP, manakala kompaun sehingga RM1 juta dikenakan kepada syarikat yang melanggar prodesur itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini berkata, terdapat lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam RUU berkenaan bagi memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat. – MalaysiaGazette