Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KK) berjaya mencapai 100 peratus tiga daripada empat perancangan yang ditetapkan dalam 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia melibatkan keselamatan tapak pembinaan yang memperkenalkan peraturan baharu dan mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Dasar KKR bagi menguatkuasakan Standard Industri Pembinaan (CIS) serta Garis Panduan Bagi Prosedur Kerja Selamat Untuk Kerja-Kerja Pembinaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menurut beliau, kejayaan lain ialah penyelenggaraan 12,449 jalan berlubang (potholes), sebanyak 100 peratus, di Jalan Persekutuan bagi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan daripada 1 September sehingga 20 November lalu dengan menampalnya dalam tempoh 24 jam.

“Pada masa sama, sebanyak 125 dari 120 Surat Setuju Terima (SST) yang disasarkan telah berjaya dikeluarkan dalam tempoh 81 hari dari saya dilantik semula sebagai Menteri Kerja Raya dan ianya melibatkan peruntukan sebanyak RM4,063,999,202.21.

“KKR juga sedang dalam tindakan untuk mengadakan rundingan bersama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya utama bagi tujuan penetapan kadar tol baharu yang lebih rendah agar tidak membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) diiringi timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup melihat pelan reka dan bina Pusat Kawalan Penyakit Negara selepas Penyerahan Surat Setuju Terima Tender (SST) dan Projek Siap KKR dan JKR di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2021.

Fadillah menambah, bagi pasca 100 Hari AKM pula, KKR akan terus mempercepatkan pengeluaran SST dengan menggunakan teknologi terkini dalam pemantauan secara digital selain solusi teknikal dengan mengadaptasikan data ig, analisis data, kecerdasan buatan dan Internet Segala Benda (IoT) dalam memastikan sistem pemantauan yang bersistematik.

Tambah beliau, KKR akan turut melakukan pemantauan ke atas projek yang telah dikenalpasti dan memantapkan modal insan yang kreatif dan inovatif dalam Pengurusan projek selaras Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) serta memperkasakan elemen kelestarian dalam setiap rekabentuk yang disediakan.

“Bagi Keselamatan di tapak pembinaan, proses Regulatory Impact Assessment (RIA) akan dijalankan bagi memastikan pendekatan yang sistematik diambil untuk menilai kesan-kesan yang mungkin timbul sebelum Peraturan Baru diwartakan.

“Manakala bagi penyelenggaraan pothole, Sistem Aplikasi Pemantauan Potholes (ASaPP) digunakan bagi memantau potholes secara atas talian melalui penggunaan aplikasi di telefon bimbit, tablet dan komputer.

“Aplikasi ini boleh digunakan oleh pegawai-pegawai JKR dan juga syarikat konsesi bagi tujuan pemantauan kewujudan potholes pada jalan persekutuan.

“Sistem pemantauan melalui aplikasi ini dapat memperkemaskan sistem kerja pemantauan potholes di jalan persekutuan agar kerja-kerja pembaikan kerosakan jalan dapat dilaksanakan dengan segera dan perancangan kerja penyenggaraan yang menyeluruh dan teratur dapat dibuat,” katanya.

Datuk Seri Fadillah Yuosf hadir pada Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 9 Disember lalu.

Fadillah memberitahu, KKR juga komited menambah baik jaringan lebuh raya yang mana ia akan memantau pelaksanaan projek secara berterusan bagi memastikan syarikat melaksanakan obligasi di bawah Perjanjian Konsesi serta memastikan ia dapat dibina dan disiapkan mengikut tarikh siap yang ditetapkan.

Ujar beliau, ia bagi memastikan lebuh raya baharu dapat memenuhi objektif pembinaannya iaitu untuk melonjakkan kemajuan serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

“Besar harapan saya agar KKR terus menjadi peneraju infrastruktur negara kerana dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan akan memberi tumpuan untuk melonjakkan pendigitalan dan teknologi termaju.

“Ia akan dilaksanakan dengan memperhebat ekonomi digital, mengurus perdana pendigital bagi mencapai pembangunan inklusif, mempercepat R&D serta memanfaatkan potensi teknologi termaju.

“Kementerian Kerja Raya menerusi CIDB juga telah melancarkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 merupakan satu pelan jangka masa pendek CIDB untuk tempoh lima tahun, yang akan menjadi asas bagi merangka program untuk meningkatkan keupayaan industri pembinaan dalam alaf industri 4.0.

“Pelan strategik ini dibangunkan selaras dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD),” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan