Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir di PPS sekitar Kuantan, Pahang hari ini.-Gambar FB Istana Negara.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melaksanakan saringan ujian calitan Covid-19 kepada mangsa banjir.

Seri Paduka Baginda bertitah, perkara tersebut wajar dilaksanakan berikutan kebimbangannya jika PPS boleh menjadi punca kluster terbaharu Covid-19.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) ini perlu dititikberatkan ekoran negara masih lagi berada dalam ancaman Covid-19. Bila kita masuk PPS kita kena swab test sebab kita boleh asingkan positif dan negatif. Kira ini perlu jadi keutamaan kerana tidak mahu jadi central kluster tapak Covid-19,” titahnya.

Agong bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di PPS Wisma Belia Kuantan di sini hari ini.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah al Sultan Abdullah.

Hadir sama  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Titah Seri Paduka Baginda, saringan tersebut membolehkan pengasingan segera dibuat bagi mengekang penularan pandemik.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa simpati kepada seluruh penduduk terjejas banjir dan menyeru agar rakyat terus bersabar dengan ujian.

Keluarga diraja turut meluangkan masa melawat PPS Paya Besar dan PPS Sungai Isap dan menyantuni mangsa banjir di daerah itu.

Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa hampir dua jam dari pukul  12 tengah hari menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di tiga PPS tersebut.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di tiga PPS tersebut dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast