Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah menunjukkan rampasan lima kilogram dadah jenis ganja bernilai RM9,800 pada sidang media khas di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam dan isterinya merupakan antara tiga suspek yang dicekup polis pada Jumaat lalu kerana disyaki mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tangkapan suspek dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Wangsa Maju pada pukul 6.45 petang di Jalan Kampung Bandar Dalam, Setapak, di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek pertama yang bekerja sebagai Pembantu Dewan Bedah di sebuah hospital kerajaan di ibu negara berusia 40-an itu merampas beg silang miliknya yang membawa kepada penemuan sebungkus dadah jenis ganja seberat satu kilogram.

“Berikutan itu suspek kemudian telah dibawa ke kediamannya di Pudu sebelum pemeriksaan di dalam bilik berjaya membawa kepada penemuan tiga lagi bungkusan mampat lutsinar disyaki ganja seberat tiga kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, di sini.

Tambah beliau, polis juga menahan isteri suspek yang merupakan seorang suri rumah kerana disyaki bersubahat dengan suspek dalam kegiatan pengedaran dadah.

Katanya, berpandukan kepada maklumat kakitangan perubatan awam itu, polis menyerbu sebuah restoran di Kota Damansara.

Menurut beliau, hasil serbuan pada jam 9 malam hari yang sama, polis menahan suspek ketiga yang merupakan seorang ahli perniagaan kerana disyaki pembekal dadah.

“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM9,800 dan sindiket didalangi tiga individu berkenaan bergerak aktif di kawasan sekitar Wangsa Maju lebih setahun yang lalu.

“Malah kita juga tidak menolak kemungkinan suspek mengedar dadah di kawasan hospital untuk individu tertentu sahaja bagaimanapun siasatan lanjut diteruskan ke atas suspek.

“Soal siasat mendapati modus operandi sindiket ini pembantu dewan bedah hospital itu akan dihubungi pelanggan yang memerlukan barang terlarang itu sebelum suspek akan merujuk kepada pembekal (pemilik restoran) untuk mendapatkan ganja sebelum menjual kepada pelanggan yang datang berjumpa suspek di lokasi yang ditentukan,” ujarnya.

Ashari memaklumkan kesemua suspek telah diperolehi perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 18 Disember hingga 24 Disember ini bagi membantu siasatan polis.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.-MalaysiaGazette