Api marak di lapan rumah yang terbakar di Flat Sri Johor, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan unit kediaman tingkat empat blok 31 Flat Sri Johor, Jalan Jelawat 2, Bandar Tun Razak, Cheras di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran malam tadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Komander Operasi Kanan Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihak telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.17 malam.

Susulan itu, katanya, seramai 35 anggota menaiki 11 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras telah bergegas ke lokasi kebakaran.

Bomba mengambil masa kira–kira dua jam untuk mengawal kebakaran di Flat Sri Johor, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

“Setibanya di lokasi, kita mendapati semua unit kediaman itu musnah 100 peratus.

“Operasi pemadaman kebakaran menggunakan teknik jentera khas dilaksanakan dan kebakaran dipercayai berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya jam kira-kira 11.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Dalam pada itu, katanya, pihak bomba sedang menjalankan Kerja baik pulih di lokasi kejadian.

“Manakala punca berlaku kebakaran terbabit masih dalam siasatan kami,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast