Gambar hiasan.

MASJID berasal dari kata sajada-yasjudu-sujudan yang bererti patuh; taat; tunduk dengan penuh hormat. Meletakkan dahi, kedua tapak tangan, lutut, dan kaki ke bumi, atau bersujud adalah bentuk lahiriah yang paling zahir dari makna tersebut. Itulah sebabnya mengapa bangunan yang dikhususkan untuk solat dinamakan masjid, “tempat bersujud”. Hakikatnya masjid menjadi tempat melakukan segala aktiviti yang berorientasikan kepatuhan kepada Allah. Al-Quran menegaskan dalam Surah al-Jin ayat 18 yang bermaksud “Sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik Allah, maka janganlah kamu menyembah sesuatu di dalamnya selain Allah.”

Dari Jabir bin Abdillah berkata bahwa Nabi Muhammad telah bersabda yang bermaksud “Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada orang sebelumku; aku ditolong melawan musuhku dengan ketakutan mereka sejauh satu bulan perjalanan, dijadikan bumi untukku sebagai tempat sujud dan suci lagi mensucikan. Maka dimana saja salah seorang dari umatku mendapati waktu solat hendaklah ia solat, dihalalkan untukku harta rampasan perang yang tidak pernah dihalalkan untuk orang sebelumku, aku diberikan (hak) syafa'at, dan para Nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia." (Bukhari, Muslim, Nasa’i)

Masjid bukan sekadar tempat sujud dan tempat penyucian atau  bertayamum. Masjid adalah simbolik kepada umat Islam untuk menterjemahkan sikap dan adabnya di masjid ketika mana-mana sahaja seseorang Muslim itu berada. Fenomena hari ini, apabila disebut masjid, kita membayangkan  suatu binaan yang cukup indah tersergam, dengan hamparan permaidani berkualiti, berhawa dingin, selain membayangkan masjid adalah tempat untuk solat berjemaah atau Hari Raya.

Sehingga ada yang menganggap masjid yang dibina itu sebagai lambang kemegahan dengan ciri-ciri seni bina terkini, fasiliti terbaik, dan bentuk binaan yang lain daripada yang lain. Sedangkan penghayatan taqwa yangmenjadi matlamat utama pembinaan Rumah Allah itu tersasar jauh. Siapakan yang harus sedar untuk menghayati masjid sebagai medan menggilap taqwa ini adakah pengerusi masjid danjawatankuasa semata-mata? Jawapannya adalah masyarakat Islam itu sendiri.

Masjid Nabawi yang terletak di Kota Suci Madinah menjadi testemoni terbaik selain masjidil Haram di kota Makkah al-Mukarramah. Tingkah laku masyarakat Islam di Madinah jelas berbeza dengan tempat-tempat lain dan hal ini disedari oleh kebanyakan daripada kita yang pernah ke sana. Dengan ketertiban sewaktu berbicara menggunakan bahasa yang halus, ketika berniaga mementingkan senyuman dan tutur kata, semasa memandu kenderaan dengan memberi laluan kepada pejalan kaki dan banyak lagi yang merupakan pancaran akhlak lantaran menjiwai masjid sebagai medan menjana akhlak Islami. Semuanya adalah kesan kepada kelompok jemaah yang bersatu padu atas seruan Allahu Akbar dan menterjemah persekitaran seolah-olah inilah taman Qurani yang damai dengan Rahmat Allah Azza wa Jalla.

Rasulullah SAW telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang tersurat dan tersirat dari institusi Masjid. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa masjid bukan sahaja tempat untuk melakukan solat, bahkan setiap dari kita harus menyedari masjid mempunyai peranan yang lebih global merentasi sempadan kemulian bangsa, ketaksuban budaya atau kerana pangkat dan kedudukan.  Hal ini sangat membantu untuk  menyebarkan Islam melalui dakwah Bil Hal iaitu dakwah tanpa bicara kepada masyarakat di luar sana.

Kesedaran ini mestilah datangnya dari lubuk hati yang didasari dengan ilmu dan iman. Adalah kurang benar punca ramai yang tidak berminat untuk mengunjungi masjid semata-mata menyalahkan pengisian yang hambar dan tidak sehebat rancangan realiti dalam televisyen.Begitu juga dengan faktor keselesaan beribadah akibat kurang kelengkapan yang sering diungkit menyatakan kekecewaannya bersembahyang di masjid-masjid tertentu.

Secara tidak langsung, menggambarkan dangkalnya kesedaran untuk menjiwai masjid sebagai medan taqwa, kurangnya ilmu tentang sejarah pembinaan masjid pada zaman awal Islam yang serba kekurangan dan turut menggambarkan personaliti yang lebih banyak memberi alasan tanpa mencari penjelasan. Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 108 yang bermaksud “Sungguhnya masjid yang dibinakan di atas dasar taqwa, sejak hari pertama (kamu berada diMadinah) adalah lebih wajar kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orangyang suka membersihkan diri, sedang Allah menyukai orang-orang yang bersih”.

Sudah sampai masanya umat Islam berhenti menuding jari menyalahkan organisasi dan jawatankuasa masjid sebaliknya perlu menyedarkan diri sendiri berapa kalikah dalam seminggu menjejakkan kami bersujud di rumah Allah ini. Berapa banyakkah sumbangan idea dan tenaga diperuntukkan untuk mengimarahkan masjid? Pernahkan diri kita secara Lillah Ta’ala menghampar sejadah, membuang kotoran atau membersihkan tandas masjid? Semua ini akan menjadikan kita umat Islam terbaik hasil terbitnya kecintaan kepada institusi masjid secara sukarela. Lebih ramai masyarakat Islam yang melakukannya maka lebih banyak insan berwatakkan ‘orang masjid’ akan menyumbang kepada kemajuan dan keamanan ummah.

Dr. Mohd Zamrus Mohd Ali, adalah Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)