GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan memberi fokus terhadap langkah adaptasi dan pembinaan daya ketahanan berhubung perubahan iklim, serta peningkatan usaha siap siaga menghadapi bencana.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, pelan adaptasi segera yang merangkumi pendekatan berasaskan alam semula jadi diperlukan untuk memastikan bangunan, prasarana dan kawasan persisiran pantai mempunyai daya ketahanan terhadap ribut, peningkatan kadar hujan, kebertahanan banjir, kenaikan paras laut, dan sebagainya.
Jelas beliau, langkah-langkah pemuliharaan hutan dan tanah termasuk perlindungan kawasan tadahan air dan sungai bagi mencegah kejadian banjir serta memperkukuhkan persisiran pantai melalui pemulihan hutan paya bakau adalah komponen penting dalam rancangan tersebut.
Selain itu, langkah-langkah menyeluruh juga diperlukan dalam menangani kemarau, gelombang haba, kekurangan air, kesan-kesan ke atas pertanian, kesihatan, corak cuaca yang tidak menentu dan bencana.
“Selalunya, Malaysia akan bersedia untuk menghadapi musim banjir di kawasan Pantai Timur disebabkan oleh monsun yang biasanya berlaku pada waktu ini setiap tahun. Tetapi, tidak dijangka kali ini banjir besar melanda Lembah Klang akibat dari fenomena seperti tekanan rendah tropika di rantau ini dan kesan taufan besar Rai yang telah melanda Filipina.
“Memang betul kadar hujan yang turun di beberapa bahagian negara kali ini adalah luar biasa tetapi yang penting adalah kita harus bersedia untuk menghadapi pelbagai peristiwa yang tidak dijangka seperti ini yang mungkin akan berlaku dengan lebih kerap lagi disebabkan oleh kesan-kesan perubahan iklim.
“Seluruh dunia kini berdepan situasi cuaca melampau yang tidak dijangka dan kebimbangan timbul tentang keperluan kita untuk memberi fokus terhadap langkah-langkah adaptasi dan pembinaan daya ketahanan kita terhadap perubahan iklim, serta peningkatan usaha siap siaga kita untuk menghadapi bencana,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, negara telah memulakan Pelan Adaptasi Kebangsaan baru-baru ini untuk memberikan panduan berkenaan hal-hal perundangan, urus tadbir, perancangan dan penyelarasan kaedah-kaedah adaptasi untuk mengukur tahap keterdedahan negara terhadap kesan perubahan iklim.
Bagaimanapun, usaha itu sepatutnya dibuat lebih awal kerana kenyataan sebenar menunjukkan bahawa negara ini masih lagi belum bergerak ke arah yang sepatutnya dengan pelbagai projek dan rancangan pembangunan yang masih berjalan seperti biasa.
“Kita masih belum merancang ataupun bersedia dengan secukupnya untuk menangani kesan-kesan perubahan iklim yang sedang atau akan berlaku di masa hadapan.
“Banyak persoalan timbul berkaitan dengan hal ini. Adakah penggubal dan perancang dasar negara kita di semua peringkat kerajaan, termasuklah para arkitek dan jurutera kita, cukup arif berkenaan dengan kesan perubahan iklim semasa dan kesan-kesannya di masa yang akan datang?
“Adakah kita sedang merancang untuk menghadapi segala bentuk ancaman dan bencana yang bakal kita hadapi di masa hadapan,” soal Meenakshi.
Tambah Meenakshi, loceng amaran untuk menyesuaikan diri kepada norma baharu akibat dari kesan-kesan perubahan iklim ini harus dibunyikan agar semua pihak bersedia menghadapi apa jua keadaan.
“Sudah tiba masanya untuk kita melakukan pelaburan menerusi langkah adaptasi perubahan iklim dan dalam pembinaan daya ketahanan terhadap perubahan iklim negara sudah lama kita lepasi.
“Tindak balas segera amat diperlukan sekarang dan kita juga harus belajar dari apa yang sedang dilakukan oleh negara lain,” kata beliau. – MalaysiaGazette