N. Umapathy melihat album perkahwinannya rosak akibat banjir di Meru Klang hari ini. - Gambar MalaysiaGazette

MERU – Baginya berkahwin cuma sekali dalam hidup dan memori kenangan manis 20 tahun itu habis rosak dilanda banjir sekelip mata.

Itu luahan seorang mangsa banjir di Taman Desa Indah di Meru di sini yang terjejas teruk akibat bencana alam luar biasa selama dua hari pada 17 hingga 19 Disember lalu.

Berkongsi kepada MalaysiaGazette detik-cetik cemas kejadian, N. Umapathy, 45, yang bekerja sebagai pegawai pengurusan di sebuah syarikat swasta berkata, banjir kali ini menakutkan dan membawa kesan trauma.

Beliau antara sebilangan besar Penduduk Taman Desa Indah Meru yang terjejas dalam banjir yang telah menenggelamkan kawasan perumahannya sehingga merosakkan harta benda serta dokumen penting.

Katanya, semasa kejadian mereka sekeluarga tiada di rumah kerana keluar mengambil anak mereka di rumah kakaknya di Bandar Bukit Raja.

Selepas sudah dekat dengan kawasan perumahan kakaknya, jalan menjadi sesak akibat banjir sehingga mereka terpaksa ‘berteduh’ di kedai dalam keadaan basah kuyup sehingga pagi esoknya dan kereta ditinggalkan di tepi jalan.

“Air banjir pula tak turun-turun sebaliknya semakin naik, kami jalan kaki pulang semula ke rumah kakak dan duduk situ sebelum dua tiga kali cuba untuk balik ke rumah kami tetapi situasi banjir bertambah teruk.

“Pada Ahad lalu, kami balik ke rumah kami di Meru sebelum mendapati air memang tinggi dan air melimpah apabila membuka pintu kereta.

“Pintu rumah pada mulanya tak dapat dibuka sebab sudah kembang kerana air dan segala barang keperluan dalam rumah rosak dan akhirnya kami  tinggal sementara di Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru.

“Hanya pakaian sahaja diselamatkan dan dihantar cuci ke kedai dobi malah segala dokumen penting seperti sijil pendaftaran perkahwinan dan segala dokumen keluarga serta buku teks sekolah anak semuanya musnah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Justeru Umapathy menambah, foto kenangan album perkahwinannya bersama suami, Sebastian juga rosak terkena banjir.

“Kita mana boleh kahwin lagi kan..semua foto berkenaan diambil di studio untuk pra-perkahwinan kami selepas pendaftaran perkahwinan 20 tahun  lalu dan disimpan demi memori indah.

“Kalau kami nak kahwin semula mana boleh macam dulu. Sudah tak cantik muda seperti 20 tahun lalu..saya memang rancang ajak suami untuk ambil semula gambar di studio, tapi dia tak mahu,” katanya.

Beliau juga menegaskan keluarganya tidak mengharapkan bantuan berupa wang dari sesiapa sebaliknya menagih bantuan berupa barangan keperluan seperti tilam, katil dan peralatan lain.

Ujar Umapathy, anggaran awal nilai kerugian adalah RM10,000 namun bimbang angka itu boleh mencecah RM50,000 memandangkan keretanya juga rosak ditenggelami air.

“Semalam, air sudah surut dan kami sempat mencuci rumah dan tidur atas lantai dan hari ini dan juga untuk beberapa hari lagi terpaksa tidur atas lantai lagi kerana katil, sofa dan tilam juga rosak.

“Malah selepas ini saya perlu sibuk dengan urusan ke Jabatan Pendaftaran Negara memandangkan segala dokumen kelahiran, pendaftaran perkahwinan serta sijil-sijil penting semuanya musnah dan perlu digantikan dengan dokumen baharu,” katanya.

Bagi jirannya, seorang pemandu lori, Nor Faezli Jamhuri,31, pula berharap kerajaan menghulurkan bantuan dengan kadar segera memandangkan 80 peratus barangan di rumahnya musnah akibat banjir.

Nor Faezli Jamhuri, 31, berkongsi rasa duka selepas 80 peratus harta benda serta dokumen penting di kediamannya rosak akibat banjir besar 18 Disember lalu di taman Desa Indah Meru Klang hari ini semasa tinjauan Pasca banjir MalaysiaGazette

 

Menurutnya, semasa banjir, beliau keluar memandu lori sebelum hanya mendapat tahu perumahannya  dinaiki banjir menerusi mesej daripada jirannya.

“Saya segera balik ke rumah melihat keadaan dan memang terkejut apabila air sudah capai paras lebih tiga kaki dan segala harta benda termasuk katil, sofa, almari semuanya musnah.

“Saya terpaksa mencuci rumah dan membuang semua barang yang rosak.. mungkin ambil masa untuk kembali normal tapi saya cuma mengharapkan bantuan keperluan asas toto dan tilam buat waktu terdekat ini,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar kawasan Meru mendapati suasana semakin pulih dan rata-rata penduduk dan peniaga mulai sibuk membersihkan premis serta kediaman masing-masing.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast