SHAH ALAM – Sekumpulan mangsa banjir yang kelaparan selama tiga hari bertindak menceroboh sebuah kedai serbaneka yang ditenggelami air bah untuk mendapatkan makanan-makanan kering.
China Press melaporkan, kejadian melibatkan pekerja asing yang terperangkap kerana banjir itu berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam dan disaksikan oleh seorang sukarelawan bomba.
Liang Ming Da berkata, dirinya dan empat sukarelawan lain tiba di tempat kejadian pada 7 pagi, Isnin untuk menyelamat dan memberi bantuan makanan.
Pada masa itu, mereka terserempak dengan sekumpulan mangsa yang membanjiri sebuah kedai untuk merebut makanan kering.
Difahamkan, kira-kira 200 orang termasuk kanak-kanak yang kelaparan memasuki kedai untuk mengambil bungkusan makanan selepas ada orang yang memecahkan pintu.
“Sebenarnya, kedai serbaneka sudah ditenggelami air sebelum ini, tetapi paras air telah menurun sedikit.
“Mangsa banjir memasuki ke dalam untuk mengambil makanan seperti biskut, makanan ringan, malahan pelitup muka,” katanya.
Menurut sukarelawan itu, kemunculan orang yang ramai telah mengundang kehadiran polis.