KUALA LUMPUR – Kejadian banjir di Selangor harus dijadikan sebagai peringatan agar tidak berulang kepada penduduk di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.
Ingatan diberi berdasarkan kemungkinan banjir berikutan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung hujan berterusan di kawasan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mahu kejadian banjir seperti di Selangor berlaku lagi apabila kebanyakan penduduk tidak bersedia menghadapi bencana sehingga mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.
“Apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran, mereka mungkin tidak menjangka air naik dengan cepat dan jangan ada mana-mana pihak yang enggan berpindah.
“Jika perkara itu berlaku, akhirnya ramai terperangkap dan terpaksa berpindah serta merta tanpa sempat menyelamatkan harta benda serta dokumen pengenalan diri,” katanya kepada pemberita sewaktu mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Buntar di Bera, Pahang hari ini.
Ismail Sabri sempat menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS itu sebelum ke beberapa PPS berhampiran di kawasan tersebut.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Bera itu turut mengingatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya bersedia daripada segi PPS, bantuan barangan, keperluan aset selain memastikan sistem perparitan dan saliran diselenggara dengan baik.
Sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di negeri-negeri di utara Semenanjung bermula hari ini.
Menurut jabatan itu, amaran tahap waspada itu melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Perak iaitu Kerian dan Larut, Matang serta Selama. – MalaysiaGazette