KUANTAN – Daerah Pekan, Temerloh, Bera dan Maran mungkin dilanda banjir gelombang kedua ekoran limpahan air dari hulu Sungai Pahang dalam masa terdekat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel Pertahanan Awam, Che Adam A. Rahman berkata, kebarangkalian itu dibuat selepas melihat perubahan aliran air Sungai Pahang yang kemungkinan mengalir ke kawasan lebih rendah.
Tambahnya, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia bermula 20 hingga 25 Disember ini tiada hujan lebat yang boleh membawa kepada banjir tetapi hanya limpahan air sungai dari hulu.
“Pihak APM sudah bersedia dengan kemungkinan itu dan sudah meminta penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya bersedia dengan gelombang banjir seterusnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Bagaimanapun pihaknya menjangka fenemona gelombang kedua tersebut tidak akan menyebabkan pemindahan mangsa banjir yang ramai seperti sekarang.
Sehingga kini jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang berlaku sedikit penurunan kepada 40,663 mangsa daripada 11,060 keluarga melibtkat 279 PPS sehingga jam 6 petang tadi. – MalaysiaGazette