Seorang penduduk Flat PKNS Jalan Tun Razak, Kg. Padang bercerita berkpengalamannya berdepan banjir kilat kepada Nazir Hussin (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR – Setiap kali hujan lebat dan berlarutan dalam dua hingga tiga jam, beberapa kawasan di Kampung Baru, di sini, dinaiki air.

Banjir kilat itu juga menyebabkan banyak rumah penduduk dimasuki air antara 0.5 hingga satu meter, demikian kata Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Katanya, setiap kali itu juga, beliau bersama jentera Pemuda Bahagian akan turun ke lokasi untuk membantu penduduk seperti membawa mereka ke kawasan lebih selamat dan menghulurkan bantuan makanan serta kewangan.

“Mereka seperti sudah lali dengan situasi berkenaan, lebih lagi dalam kejadian banjir yang melanda Kuala Lumpur dan Selangor dua hari lalu. Banyak barangan keperluan seperti perabot dan elektrik rosak.

“Dalam situasi ini, sesiapa sahaja tidak boleh leka. Kita di Bahagian Titiwangsa terus turun ke lokasi jika mendapat aduan untuk membantu apa yang mampu,” katanya kepada media selepas memantau dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Baru, semalam.

Nazir Hussin menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Flat PKNS Jalan Tun Razak, Kg. Padang.

Sebanyak 43 unit rumah, 20 unit kedai Flat PKNS Jalan Tun Razak, Kg. Padang dan sembilan unit rumah Kg. Hujung Pasir dinaiki air sejak Sabtu sehingga awal pagi semalam.

Ketika ini, semua mangsa banjir yang terjejas teruk ditempatkan di PPS Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Kata Nazir Hussin, dalam lawatan itu, pihaknya menghulurkan bantuan kewangan, kepada setiap keluarga dan barangan keperluan seperti air mineral, biskut dan pad wanita.

Menurut beliau, Pemuda UMNO Titiwangsa akan sentiasa memantau keadaan banjir di kawasan Parlimen itu dan bersedia memberi pertolongan serta bantuan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette