KUALA LUMPUR – Dasar fiskal Malaysia telah mencatatkan pengembangan sejak lebih dua tahun lepas dan akan terus berkembang untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), inisiatif menerusi Bajet 2022 itu telah memfokuskan untuk mempercepat pemulihan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memesatkan pembaharuan.
Mustapa berkata, walaupun dasar jangka pendek kerajaan adalah penting untuk mendorong pemulihan ekonomi pada 2022, pembaharuan keinstitusian jangka sederhana dan panjang juga sama pentingnya untuk memperkukuh daya tahan.
“Kami menghargai input daripada pasukan Bank Dunia di sini dan di peringkat global untuk berkongsi amalan terbaik bagi membasmi kemiskinan.
“Saya juga mengambil maklum berhubung laporan Bank Dunia mengenai Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) di Malaysia, ‘Menambah baik ukuran dan dasar pada 2020’,” katanya.
Katanya, kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang holistik dan bersasar untuk menghapuskan kemiskinan tegar melibatkan kira-kira 50 kawasan di seluruh negara pada tahun depan.
Beliau turut menekankan keperluan untuk menangani isu upah yang rendah.
“Dalam RMK12, sasaran kita adalah untuk meningkatkan Bahagian Pampasan Pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar daripada 37.2 peratus kepada kira-kira 40 peratus.
“Sekiranya kita mahu mencapai sasaran ini, kita memerlukan lebih ramai rakyat Malaysia yang bekerja dalam kategori berkemahiran,” kata Mustapa.
Beliau berkata kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan Bank Dunia dan organisasi antarabangsa yang lain, selain sektor swasta dan organisasi masyarakat untuk menambah baik taraf hidup rakyat Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Dr Ndiame Diop berkata meskipun pembukaan semula ekonomi dan sokongan berterusan daripada permintaan luaran dijangka melicinkan pemulihan ekonomi pada tahun depan, kejutan ekonomi telah menjejaskan lagi kesukaran sedia ada golongan miskin dan rentan yang dialami sejak sebelum pandemik COVID-19.
“Menangani kesusahan yang dialami kumpulan ini, di samping mengecilkan jurang pendidikan memerlukan maklum balas segera dan jangka panjang,” katanya.
Menurutnya, bagi jangka pendek, langkah dasar ke arah mengekalkan bantuan kewangan kepada golongan miskin dan rentan adalah penting, selain memastikan keterangkuman yang lebih luas terhadap insurans sosial dan meminimumkan kehilangan pembelajaran.
“Bagi jangka panjang, Malaysia perlu mengambil langkah untuk memperbaharui sistem perlindungan sosial dengan menjadikannya lebih luas, kukuh dan disasarkan dengan progresif,” katanya sambil memaklumkan penekanan juga perlu tertumpu untuk memantapkan sistem pendidikan. – MalaysiaGazette