Foto: FAS

KUALA LUMPUR – Juara empat kali Singapura bangkit menyamakan kedudukan untuk mengikat Indonesia 1-1 pada saingan separuh akhir pertama perlawanan bola sepak Piala AFF 2020 di Stadium Nasional Singapura, malam ini.

Skuad Garuda mengejutkan tuan rumah dengan gol pembukaan yang disempurnakan oleh Witan Sualeman menerusi gerakan satu-dua dengan Asnawi Mangkualam pada minit ke-28.

Faris Ramli berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-64 yang berjaya memperdaya pertahanan lawan dan berdepan penjaga gol Nadeo Argawinata namun percubaan jarak dekatnya melebar ke sebelah kiri pintu gol.

Skuad The Lions akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ikhsan Fandi yang dengan tenang menewaskan penjaga gol Indonesia pada kedudukan satu-lawan-satu pada minit ke-70.

Pemenang akan ditentukan berdasarkan keputusan agregat selepas perlawanan separuh akhir kedua berlangsung Sabtu ini di venue sama.

Juara bertahan Vietnam akan berdepan Thailand dalam satu lagi pertemuan separuh akhir pertama esok, manakala separuh akhir kedua berlangsung pada Ahad. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast