Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekalan air bagi kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur yang terjejas berikutan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) sejak Ahad (19 Dis), telah kembali pulih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan setakat pukul 6 pagi tadi, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 95 peratus dengan Wilayah Petaling dan Kuala Lumpur pulih 100 peratus manakala Hulu Langat mencecah 91.4 peratus.

“Bekalan air di 28 lagi kawasan yang masih terjejas di Hulu Langat akibat daripada henti tugas LRA Cheras Batu 11, dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 10.00 pagi, esok (24 Dis).

“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” menurut kenyataan itu.

Kesemua empat LRA itu dihenti tugas berikutan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi syairkat berkenaan seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast