KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membuat analisa secara holistik berkenaan situasi banjir besar yang melanda negara ketika ini.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ini kerana rakyat mahu diselamatkan dan mereka mahu survival hidup.
Menurutnya, tidak wajar apabila ada sebilangan menteri menjadikan situasi banjir tersebut sebagai propaganda politik dengan membawa pegawai-pegawai iringan mereka penuh bot hanya sekadar untuk lensa kamera.
“Pasca banjir adalah keadaan yang perlu diteliti sekarang. Demi kelangsungan hidup, bantuan kewangan perlu disalurkan secepat mungkin tanpa kerenah birokrasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang ditubuhkan setelah banjir besar 2014 dilihat gagal bertindak pantas dalam situasi bencana kali ini.
Ujarnya, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran awal berkenaan hujan lebat yang bakal melanda, namun, tiada peringatan tambahan oleh mana-mana pihak untuk menyedarkan rakyat bahawa hujan lebat kali ini adalah luar biasa.
Disebabkan itu katanya, ramai yang menyangka ianya hanya sekadar hujan lebat biasa yang dialami kebiasaannya di Kuala Lumpur.
“Jadi tidak timbul soal menuding jari kepada mana-mana agensi lain…aset-aset lain juga gagal digerakkan dengan cepat, walhal kita berbangga mempamerkan aset-aset tersebut pada perarakan Hari Kemerdekaan.
“Bot kecil, sampan, kenderaan amphibia dan sebagainya tidak digunakan dengan cepat. Rakyat Malaysia bernasib baik dengan tindakan pantas rakyat kita sendiri yang membawa bot-bot dan sampan kecil persendirian untuk menyelamatkan mangsa banjir,” tambahnya.
Sementara itu Shahir berkata, pihaknya turut menyantuni mangsa-mangsa banjir di sekitar Shah Alam, Subang dan Puchong yang ditempatkan di Masjid Al Falah, Subang dan berterima kasih di atas sumbangan dari rakyat Malaysia yang cakna dengan mangsa banjir.
Katanya, sumbangan makanan, peralatan kebersihan diri, dan pakaian sememangnya diharapkan oleh mangsa banjir dan pada masa yang sama, sumbangan tenaga sukarewalan turut diperlukan.
“Oleh itu, DPIM menyeru seluruh ahli Ikatan, parti-parti politik lain dan seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi sukarelawan pasca banjir. Kita Keluarga Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette