Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menafikan dakwaan mengatakan satu rakaman audio kononnya ia perbualan antaranya dengan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ia merupakan rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada sidang media tahun lalu yang dikaitkan dengan Rosmah didakwa berang dengan suaminya.

Rakaman itu dimainkan oleh pendakwaan diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram pada prosiding bela diri Rosmah berkait kes rasuah melibatkan projek tenaga solar hibrid untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak.

Gopal Sri Ram memohon kebenaran kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan untuk memainkan rakaman itu sebelum diperdengarkan kepada semua manakala Rosmah di kandang bersalah.

Bagaimanapun sejurus dimainkan rakaman itu, Rosmah berkata, itu bukan suaranya.

“Ini rubbish (mengarut). Ini bukan suara saya,” katanya segera.

Gopal Sri Ram kemudian memohon untuk menghentikan rakaman tersebut memandangkan Rosmah sudah menafikannya.

Pendakwaan kemudian cuba mengasak Rosmah sambil mengatakan ianya adalah suara beliau.

Gopal Sri Ram: Saya cadangkan kepada anda, ini adalah suara kamu?

Rosmah: Itu bukan suara saya.

Ini juga merupakan kali pertama pengakuan isteri bekas Perdana Menteri menafikan itu bukan suaranya sejak ia didedahkan.

Selain suara beliau dan Najib, ada juga dakwaan rakaman melibatkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Dzulkifli Ahmad dan perbualan Najib dengan pegawai kanan daripada Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Perbualan bocor didakwa melibatkan Rosmah itu terkenal dengan sarananya kepada Najib yang antaranya menyebut “Can I advise you something?”

Rosmah ketika ini sedang membela diri satu tuduhan meminta wang berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Pada 15 November 2018, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di ‪No 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu.- MalaysiaGazette