Saarani Mohamad Perak MAPS theme park white elephant project state government Movie Animation Park Studios
Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH – Mana-mana kontraktor yang telah dipilih, diminta supaya menyiapkan projek berkepentingan rakyat seperti pembinaan sekolah dan hospital mengikut jadual yang ditetapkan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, pembinaan projek tersebut juga perlu berlandaskan kualiti agar tidak menjadi projek sakit dan membawa kesusahan kepada penerima manfaat seperti rakyat dan orang miskin.

“Apabila kontraktor telah dianugerahkan projek, mereka perlu siapkannya mengikut kualiti dan masa. Contohnya rumah orang miskin, sekolah dan hospital.

“Bila mereka gagal, ia akan jejaskan perancangan. Ada projek sakit seperti pembinaan sekolah di Kerian dan hospital di Parit Buntar yang tergendala lama dan gagal disiapkan setelah lama kita berjuang menuntut peruntukan dan kelulusan,” katanya dalam sidang media selepas berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di sini malam ini.

Jelasnya, jika kontraktor yang dipilih gagal menyiapkan projek mengikut jadual, ia juga akan memberikan imej yang buruk kepada persatuan kontraktor itu sendiri.

Terdahulu dalam ucapannya, Saarani berkata, kerajaan negeri berharap semua kontraktor yang membida untuk melaksanakan projek-projek kerajaan menganggap setiap projek tersebut sebagai peluang untuk mereka menunjukkan prestasi pelaksanaan yang terbaik.

Tegasnya, ini termasuklah dari segi kualiti, produktiviti dan profesionalisme dan dapat menyiapkan projek dalam jangka waktu yang ditetapkan.

“Saya percaya, jika kontraktor bumiputera terus berusaha dan menitikberatkan sifat kreatif dan berdaya saing, mereka akan berupaya memanfaatkan segala peluang dan sentiasa bersedia mengadaptasi norma baharu yang penuh cabaran dan perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, mengambil kira keadaan ekonomi yang sudah memasuki fasa pemulihan, beliau berharap PKMM akan mendapat manfaat termasuk pelaksanaan dan projek-projek infrastruktur baharu atau yang disambung semula selepas ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

Beliau berkata, ini termasuklah pelaksanaan projek-projek infastruktur terutamanya yang melibatkan kemudahan perumahan khusus kepada rakyat berpendapatan rendah.

“Kerajaan menyedari dalam suasana ekonomi yang begitu mencabar, tidak ramai kontraktor yang sanggup untuk terlibat dalam projek-projek perumahan kos rendah yang kurang memberi pulangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barangan bahan binaan yang masih tidak menentu,” katanya. – Bernama