Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendengar luahan daripada seorang mangsa selepas sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Taman Sri Muda Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kepadatan penduduk di Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda menjadi cabaran besar agensi keselamatan menjalankan kerja-kerja membantu mangsa banjr.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kerja-kerja memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri lain lebih mudah kerana lokasi dan bentuk penempatan yang berbeza dengan Taman Sri Muda.

Ujar beliau, ketika banjir berlaku, mangsa-mangsa berada di kediaman masing-masing dan dalam masa yang sama, paras air pada tahap bahaya turut menjejaskan kerja-kerja menyelamat.

“Ketika itu keadaan banjir masih paras bahaya. Kita dapati di Shah Alam mangsa-mangsa banjir berada di kediaman teres dan pangsapuri jadi kepadatan penduduk berbeza daripada negeri lain.

“Di sini, penempatan padat memang jadi cabaran besar mengeluarkan mangsa,” katanya ketika sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Taman Sri Muda hari ini.

Acryl Sani mengakui, koordinasi pengurusan semua agensi pada awalnya agak perlahan tetapi kesemua agensi kemudian berjaya mengkoordinasikan gerakan menyelamat mangsa banjir pada hari kedua.

“Saya lihat insiden berlaku di Taman Sri Muda ini Shah Alam khususnya kita dapati koordinasi semua agensi memang pada awalnya agak perlahan tetapi selepas hari kedua, kita telah menggerakkan dan mengkoordinasi semua tindakan daripada semua agensi.

“Kemudian, kita (semua agensi) tingkatkan keupayaan antara semua agensi untuk memastikan semua yang terlibat dapat kita bantu,” menurutnya.

Dalam pada itu, Acryl memaklumkan terdapat tujuh kes pecah premis yang dilaporkan berlaku semasa banjir di Selangor.

Pecah premis yang melibatkan kedai makanan dan bekalan keperluan harian ini dikatakan berpunca daripada mangsa banjir yang terdesak. 

Daripada jumlah berkenaan, empat kes pecah premis berlaku di Shah Alam, dua di Klang Utara dan satu Klang Selatan.

Jelasnya, selain telah melakukan beberapa tangkapan, polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya lagi, polis telah meletakkan 30 pasukan Cantas CID di kebanyakan lokasi banjir di Selangor untuk mengelakkan kejadian berkenaan berulang.

“Pasukan Cantas CID ini melibatkan 120 pegawai dan anggota,” katanya lagi. – MalaysiaGazette