Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah flood victims Covid-19 positive infectious diseases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Hari Krismas agar sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana pada hakikatnya penduduk negara ini masih lagi berjuang untuk melawan dan melandaikan penularan Covid-19.

“Sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi terkini, keluarga Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan panggilan video sebagai gantian amalan ziarah menziarahi.

“Sekiranya masih lagi merancang untuk berkumpul secara fizikal atau berkunjung untuk sambutan Krismas, lakukan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform dan Seek) terlebih dahulu sebelum menghadiri sambutan tersebut.

“Jagalah penjarakan fizikal dan pakai pelitup muka sepanjang masa kecuali ketika menjamu selera. Elakkan berkongsi perkakas makanan dan minuman dan kerapkan mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer, dan elakkan dari menyentuh mata, hidung dan mulut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Noor Hisham meminta rakyat menghadkan bilangan orang yang hadir ke perkumpulan keluarga.

Ujarnya, ahli keluarga yang tidak sihat dinasihat mengelak daripada bercampur gaul bersama ahli keluarga yang sihat dengan tempoh masa perkumpulan seeloknya dihadkan.

“Untuk memastikan pengudaraan yang lebih baik, tingkap dan pintu seharusnya dibiarkan terbuka agar pergerakan udara adalah lebih bebas dan jika boleh adakan sambutan tersebut di kawasan luar rumah.

“Selain itu, elakkan juga dari bersembang secara dekat dan lama ketika sedang berkumpul,” jelas beliau.

Bagi individu yang dikategorikan sebagai kontak rapat ataupun positif Covid-19, katanya, mereka perlu menjalankan kuarantin bagi mengelakkan penularan virus itu dan secara tidak langsung dapat melindungi warga tua serta kumpulan-kumpulan rentan daripada dijangkiti Covid-19. – MalaysiaGazette