Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang berulang alik dari rumahnya di Melaka ke Seremban untuk bekerja setiap hari menjadi korban apabila digilis lori di Kilometer 196.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan semalam.

ALOR GAJAH – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang berulang alik 160 kilometer (km) dari rumahnya di Melaka ke Seremban untuk bekerja setiap hari menjadi korban apabila digilis lori di Kilometer 196.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Abdul Syafiq Mohammad, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Katil dari tempat kerjanya di JIM Seremban, Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati, nahas berlaku apabila mangsa merempuh sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun yang berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke lorong kanan sebelum dilanggar dan digilis sebuah lori yang tidak sempat mengelak menyebabkannya maut ditempat kejadian akibat parah di kepala,” katanya.

Tambah Arshad, pemandu kereta dan pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika kejadian keadaan jalan adalah lurus manakala cuaca juga dalam keadaan baik dan tidak hujan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast