Laila Nasir.

KUALA LUMPUR – Hidup bergelar ibu tunggal kepada dua putera sejak kematian suami tercinta lapan tahun lalu bukan perjalanan dan pilihan mudah bagi pelakon, Laila Nasir.

Namun bagi wanita berusia 52 tahun itu, menjadi kuat ibarat hanya pilihan yang tinggal.

Malah melihat dua anak di sisi membesar, pelakon watak Mona dalam drama rantaian fenomena Nur di TV3 itulah ibu dan pada masa sama bapa untuk heronya.

“Pada awalnya agak sukar sukar untuk saya membahagikan masa antara kerjaya seni dan tanggungjawab. Manalah nak uruskan anak dan ‘shooting’ selain berniaga.

“Menjadi ibu tunggal sekelip mata selepas suami meninggal dunia merubah segala galanya. Tapi ketika itu saya bernasib baik kedua anak sudah bersekolah menengah.

“Jadi mereka sudah pandai bawa diri. Saya juga menjaga mereka tanpa bantuan sesiapa.

“Waktu itu ada ketika saya bagai lemah dan ‘lost’. Tapi anak jadi suntikan semangat untuk saya kerja lebih kuat. Tambah pula perjalanan mereka masih jauh dan saya tempat bergantung,” kata wanita kelahiran Machang, Kelantan itu.

Tambah pelakon filem Bayangan Maut dan Harry Boy itu, dia sendiri akur skeptikal gelaran dirinya sebagai ibu tunggal dengan pandangan serong mata masyarakat.

“Bukan senang nak mengharungi hidup tanpa suami. Dengan pandangan itu ini daripada masyarakat. Tapi saya tak larut dengan semua itu. Saya tanamkan semangat positif dalam diri.

“Dalam soal membesarkan anak, saya pasti mahukan yang terbaik untuk mereka tanpa fikir lelah. Kalau kita tak buat itu ini, ibarat takkan ada yang lakukan semua diingini. Maka dengan itu belajarlah buat semua sendirian.

“Keluarga saya terutama emak jadi nadi dan semangat. Mak terutamanya banyak membantu saya menjaga anak dan bagi semangat. Doa ibu itu kan sangat mukjizat,” katanya.

Tambah Laila, anak bongsunya mula mengikut jejak langkah seninya.

“Cuma yang bongsu itu lebih kepada minat kerja belakang tabir dan bercita-cita nak jadi pengarah kelak. Dia baru ha!8/ belajar dalam jurusan perfileman di Kuala Lumpur Film School. Sekarang tengah menjalani latihan praktikal di bawah seliaan Adlin Aman Ramlie.

“Sebagai ibu saya tumpang bangga dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.

Baru menjadi antara penerima anugerah Kelantan Business Ikon Awards pada 17 Disember lalu yang mengangkat anak jati negeri itu yang berjaya dalam dunia keusahawanan, Laila atau Norlaila Nasir bersemangat untuk terus mengukuhkan jenama perniagaan minyak wangi dan pelbagai sambal bilis sejak 2014.

“Dengan dunia berlakon dan berniaga itulah saya dapat membesarkan anak serta meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang mengusahakan T’Lasabella Perfume by Lailanasir dan T’Lasabella Kitchen by Lailanasir.

Diusik persoalan apakah hatinya lebih selesa sendirian tanpa kehadiran pengganti bekas suami, Laila selesa hidup sebegitu tanpa ada tekanan sesiapa.

“Memang saya tidak pernah terbuka hati untuk kahwin lagi. Saya hanya fikir keluarga, kerjaya dan perniagaan saja,” katanya.

Pernah memperlahankan rentak seni dan kemudian kembali aktif sejak beberapa tahun lalu, Laila kini terus diberi kepercayaan pelbagai produksi.

“Sejak buat ‘come back’ memang saya tak pandang ke belakang lagi. Impak drama Nur bagai pembuka pintu rezeki. Watak ditawarkan juga mencabar diri.

“Saya baru saja selesai penggambaran drama Cinta Yang Tertangguh arahan Amie Maziah. Drama terbitan Suhan Movie Production sebanyak 20 episod itu turut dibintangi Mustafa Kamal, Sweet Qismina dan Luqman Hafidz.

“Kemudian saya masuk ke set penggambaran drama Seindah Cinta pula juga sebanyak 20 episod,” katanya. – MalaysiaGazette