Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang bercakap pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Taman Sri Muda Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini telah menambah seramai 391 anggotanya menjadikan kesemuanya 500 orang untuk membantu mangsa banjir Taman Sri Muda dan Kampung Bukit Lanchong

Tumpuan kini bagi kerja-kerja proses bantuan pasca banjir, kata Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang.

Menurutnya, sebelum ini hanya seramai 109 keanggotaan  diaturgerakkan di kedua-dua kawasan terjejas teruk akibat banjir di Selangor sejak 18 Disember lalu.

“Jika sebelum ini seramai 109 keanggotaan yang kita aturgerakkan di kedua-dua lokasi terjejas ini tetapi hari ini ATM buat penambahan menjadikan 500 anggota untuk membantu kerja-kerja pembersihan di lapangan.

“Trup iaitu kerja-kerja pemulihan dan pembersihan di sini menumpukan kepada fasiliti awam seperti rumah ibadat dan sekolah yang terjesas teruk akibat banjir tersebut,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

Justeru Affendi berkata, berikutan penambahan keanggotaan di kedua-dua lokasi itu,  aset-aset ATM juga telah diaturgerakkan iaitu Back Hoe dan Tipper serta aset tambahan lain yang sesuai dan menyelaraskannya dengan bantuan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menurut Affendi, ini merupakan usaha kerjasama bersepadu yang diperlukan dalam menguruskan keperluan pasca banjir di kedua-dua lokasi.

Justeru katanya, ATM juga masih mengekalkan kekuatan 1 Kompeni iaitu lima Pegawai dan 97 anggota diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.

Beliau menegaskan, ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekunder selain dari memikul tugas utama menjaga kedaulatan tanahair.

Jelasnya, dalam menangani krisis seperti ini, ATM lebih melihat kepada kesepaduan antara agensi dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.

“Secara seluruh status terkini ATM masih mengekalkan kekuatan Op Murni sedia ada sepertimana kenyataan saya sebelum ini iaitu seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan.

“Malah, pada sesi lawatan saya mengiringi Perdana Menteri semalam di Mentakab dan Karak, kita kini memberi tumpuan kepada dua lokasi ini dan juga lokasi-lokasi lain di Pahang yang terjejas banjir.

“Di Pahang buat masa kini atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera. Aturgerak melibatkan 16 pegawai dan 206 anggota.

“Pada masa kini, ATM di Pahang banyak menggerakkan aset-aset yang mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti Kenderaan Truck 7 dan 3 Ton yang boleh meredah banjir selain dari penggunaan bot-bot tempur yang ada dalam pegangan ATM,” ujarnya.

Beliau juga telah turun meninjau kerja-kerja persediaan untuk pembinaan jambatan sementara iaitu Compact Bailey Single Lane (CB 200) di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu.

Kata Affendi, pembinaan jambatan berkenaan untuk kemudahan penduduk bagi 28 rumah di kampung berkenaan yang terputus hubungan.

“Kerja-kerja pembinaan jambatan akan dimulakan setelah proses tambak tebing selesai dilaksanakan oleh JKR Negeri Sembilan,” tegasnya.- MalaysiaGazette