KUALA LUMPUR – Bekas pemain pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof nampaknya tidak jadi untuk bersara.
Beliau kini disahkan menyertai kelab yang akan beraksi dalam saingan Liga M3 musim depan iaitu BRM FC.
Kelab berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak itu berjaya memenangi hati Azmeer yang sekali gus menyaksikan pemain berusia 31 tahun tersebut memeterai kontrak selama setahun.
Azmeer bersama pemain berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia seperti Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa dan Kamarul Effandi Abdul Rahim bakal menjadi tunjang kepada skuad yang dibimbing legenda bola sepak negara, Manja Man itu.
Pada 27 Disember tahun ketika menyarung jersi Kedah dalam saingan Liga Super, Azmeer membuat kejutan apabila dia mengumumkan persaraannya dalam dunia bola sepak.
Dia memberi alasan mahu memberikan tumpuan penuh terhadap bidang keusahawanan dan kebajikan Islam di mana dia mengilhamkan idea pembinaan Pusat Pengajian Azmeer Yusof di Tongkang Yard, Alor Setar.
Azmeer sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk bermain tanpa menerima sebarang bayaran. – MalaysiaGazette