KOTA KINABALU – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan laporan sebuah media Indonesia, mengenai pengambilan organ dalaman daripada seorang warga negara itu yang meninggal dunia, selepas dibedah siasat dijalankan pada 7 Dis lalu di Hospital Queen Elizabeth di sini.
Pengarah JKNS Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata semua organ telah dikembalikan bersama jenazah dikenali Sadiman Hamal, 38, apabila ditemukan meninggal dunia di sebuah kapal pada 1 Dis lepas, sebelum disahkan kematiannya berpunca daripada jangkitan paru-paru dan sakit jantung.
Katanya setiap sampel tisu yang diambil adalah berukuran 1 inci x 1 inci (2.54 sentimeter x 2.54 sentimeter), dan pegawai perubatan forensik telah menerangkan kepada saudara mangsa bahawa beberapa sampel tisu kecil dari organ akan diambil, untuk dihantar ke makmal bagi mengetahui punca kematian.
Dr Rose Nani berkata pegawai perubatan forensik yang mengendalikan bedah siasat itu telah menerangkan keputusan bedah siasat kepada saudara mangsa, dan individu berkenaan akan menyampaikan maklumat kepada waris mangsa di Indonesia.
Beliau berkata pihak majikan telah menguruskan proses penghantaran jenazah yang telah dimandikan dan dikafankan, sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 17 Dis dan jenazah selamat tiba di Indonesia pada 20 Dis lalu.
Baru-baru ini media tempatan Indonesia mendakwa jenazah yang berasal dari Polewali Mandar, Indonesia yang bekerja di Sabah, dihantar kepada waris tanpa organ dalaman.
— BERNAMA