Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hashim bercakap pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir Selangor di Pos Kawalan Taman Sri Muda Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM –  Sebanyak 44 lokasi tanah runtuh dikesan di sekitar negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang monsun timur laut, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr, Aminuddin Hassim berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

Katanya, abatan Meteorologi Malaysia juga mengeluarkan amaran meminta Jabatan Pengurusan Banjir Negeri yang terlibat seperti di Johor, Sabah, Sarawak, Pahang, Terengganu dan Kelantan sentiasa berwaspada tentang amaran hujan lebat berterusan.

“Semua pihak di peringkat negeri mengambil tindakan awalan untuk membuka Pusat Kawalan Operasi Bomba menjelang 25 Disember 2021 serta memaklumkan agensi-agensi responder untuk bersiap siaga untuk operasi (termasuk pembukaan PKTK, PPS dan penyelarasan bantuan dari NGO).

“Setiap PKOB Negeri telah diarahkan untuk mengemukakan laporan kawasan-kawasan yang masih mengalami banjir dan yang telah surut (memasuki fasa pasca bencana dan pemulihan awal).

“PKOB juga telah memaklumkan kepada pihak JPS keperluan untuk atur gerak pam bagi operasi mengeluarkan air di kawasan banjir genang,” katanya dalam sidang media di Taman Sri Muda hari ini.

Menurut beliau, Nadma juga  menyelaras bantuan-bantuan logistik yang diperlukan antaranya membawa unit pam JPS dari Ipoh ke Taman Sri Muda dan Mentakab.

Malah, PKOB Pusat turut dimaklumkan PKOB Terengganu bahawa negeri berkenaan telah memasuki fasa pasca sepenuhnya pada 21 Disember 2021.

“Bagi menghadapi kemungkinan banjir berlaku di Pahang berikutan ramalan luruan monsun bermula 27 Disember 2021, pihak APM Terengganu akan menghantar pasukan bagi membantu kesiapsiagaan negeri Pahang.

“Nadma juga ingin mengingatkan semua yang berada di lapangan agar langkah-langkah sewajarnya diambil untuk mengekang penularan Covid-19 terutamanya mangsa-mangsa yang berpindah ke PPS.

“Usaha kita akan lebih berjaya dengan pengurusan penyelarasan yang baik agar agihan bantuan dapat dibuat dgn tepat dan teratur.

“Bagi mereka yang terkesan dengan bencana banjir, selain daripada talian Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) 03- 8064 2400 juga boleh menghubungi talian MyGCC 03-80008000 sebagai alternatif talian informasi bencana.

“Maklumat terkini bencana juga turut dikongsi di media sosial,” ujarnya.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) melalui NADMA telah mengeluarkan pengarahan kepada semua Jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah untuk merangka dan menyelaras tindakan segera aktiviti-aktiviti pasca banjir.

Jelas Aminuddin, penggembelingan aset-aset kerajaan dengan penglibatan NGO dan sukarelawan perlu memberi perhatian kepada pentaksiran keperluan pasca bencana mangsa.

“Selain bantuan pembersihan kediaman dan tempat-tempat awam, aktiviti pembersihan sekolah yang digunakan sebagai PPS turut perlu dilakukan segera terutamanya sekolah-sekolah Menengah memandangkan sesi persekolahan akan dimulakan tidak lama lagi.

“Aktiviti pasca bencana juga melibatkan tindakan pemulihan perkhidmatan asas seperti bekalan air, belakalan elektrik, telekomunikasi, sisa pepejal dan perkhidmatan pembentungan.

“Tindakan segera juga turut melibatkan pembaikan kediaman, jambatan dan infrastruktur awam. Kerja-kerja pemulihan perkhidmatan asas ini telah pun diarah untuk dilaksanakan segera,” ujarnya.-MalaysiaGazette