KUALA LUMPUR – Platform e-dagang, TopzMall merancang untuk mewujudkan kategori halal dalam platformnya kerana sedar pasaran luas terhadap produk halal.
Ketua Pegawai Operasi TopzMall, Calvert Choo berkata, pihaknya yakin produk halal tempatan akan mendapat sambutan kerana kreadibiliti sijil halal Malaysia yang cukup diyakini di peringkat antarabangsa.
“Kami merancang untuk mewujudkan halal kategori dalam TopzMall. Masyarakat Muslim bukan sahaja ada di Malaysia tetapi seluruh dunia.
“Oleh itu, kami mahu membawa produk halal jenama tempatan masuk ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, sijil halal Malaysia mempunyai kreadibiliti yang kukuh berbanding sijil halal antarabangsa lain dan bukan mudah untuk mendapatkannya dan perlu melalui pelbagai prosedur yang cukup teliti.
“Jadi, kami berharap selepas ini peniaga produk halal tempatan boleh menyertai kami di TopzMall dan menjual produk mereka ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikan penyanyi, Jeryl Lee Pei Ling sebagai duta kempen ‘2022 CNY Goods’ di Hotel Sunway Resort & Spa dekat sini baru-baru ini.
Menurut Calvert, buat masa ini kekuatannya di China kerana majoriti pelanggan datangnya dari negara berkenaan.
“Pasaran halal di China juga cukup besar, kami berharap pemilik produk halal tempatan tidak akan melepaskan peluang yang ditawarkan apabila kategori halal diperkenalkan dalam TopzMall,” ujarnya.
Sementara itu, selepas berjaya mencatat jualan sebanyak RM16 juta pada tahun pertama operasinya, Calvert yakin dengan model perniagaannya yang memberi fokus terhadap produk tempatan.
Menurutnya, terdapat pelbagai produk Malaysia yang berkualiti dan TopzMall merupakan platform e-dagang terbaik untuk memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.
Ini kerana para pelanggan TopzMall bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga Filipina, Vietnam dan pasaran terbesar platform berkenaan adalah di China.
“TopzMall berbeza dengan platform e-dagang yang lain kerana kami memberi fokus untuk memasarkan produk jenama tempatan ke luar negara,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah Calvert, TopzMall menyasarkan jualan berganda pada tahun depan iaitu sebanyak RM32 juta dan mahu lebih ramai peniaga tempatan menyertai TopzMall.
Selain website, TopzMall boleh diakses menerusi aplikasi Yippi yang merupakan rakan strategi mereka.
“Tahun lalu kami hanya mencuba pasaran, melihat kepada jumlah jualan dalam tempoh setahun iaitu 16 juta, kami yakin model perniagaan dengan bergabung bersama rakan strategi telah berjaya.
“Selepas ini akan bergabung dengan lebih ramai rakan strategi. Sebagai contoh, aplikasi Yippi, penggunaan aplikasi berkenaan boleh mengakses TopzMall secara terus tanpa perlu mendaftar, sebalik mereka terus boleh membeli-belah.
“Secara tidak langsung TopzMall mendapat trafik daripada pengguna Yippi. Oleh yang demikian, majoriti jualan TopzMall pada tahun ini datangnya dari China,” kata Calvert.- MalaysiaGazette