Matawang negara Ringgit Malaysia (RM). foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meneruskan momentum aliran pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan kebimbangan pasaran terhadap Omicron yang semakin reda.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata. laporan terbaharu mengenai Omicron yang dikatakan tidak seganas Delta itu membolehkan aktiviti berkaitan pembukaan semula ekonomi dapat berjalan dengan lancar.

Malah, katanya, pada tahap tertentu, perkembangan itu mungkin menjadi alasan bagi kenaikan kadar faedah di Malaysia dan di Amerika Syarikat pada tahun depan.

“Paras sokongan semasa terhadap ringgit adalah sekitar 4.18 berbanding dolar AS. Ada kemungkinan ringgit mengukuh pada sekitar paras itu minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) melaporkan bahawa risiko kemasukan ke hospital bagi individu dijangkiti varian Omicron adalah antara 50-70 peratus lebih rendah berbanding Delta yang dianggap dominan sebelum ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bergerak dalam aliran tidak menentu yang terutamanya dipengaruhi oleh perkembangan membabitkan varian Omicron.

Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini pada Jumaat dengan lebih kukuh berbanding dolar AS pada 4.1935/1980 berbanding 4.2190/2210, minggu lepas.

Unit tempatan itu diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain berbanding minggu lepas.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0887/0954 daripada 3.0899/0919 pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding yen kepada 3.6660/6702 daripada 3.7139/7160 serta meningkat berbanding euro kepada 4.7567/7618 daripada 4.7805/7828 pada minggu sebelumnya.

Namun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.6226/6287 daripada 5.6180/6203 pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast