bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum positif minggu depan, menjejaki aliran meningkat pasaran serantau dalam keadaan musim cuti, dengan indeks penanda aras berlegar pada julat 1,510 hingga 1,520, kata peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata. penilaian pasaran tempatan kekal murah berbanding dengan pasaran serantau.

“Kami yakin pembelian semasa harga rendah mungkin berterusan manakala aktiviti memperelok akaun akhir tahun akan memberi sedikit sokongan kepada pasaran sekiranya wujud sebarang penjualan saham secara meluas.

“Justeru, kami menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada dalam aliran 1,510 hingga 1,520 minggu hadapan. Dari sudut pandang teknikal, kami mendapati paras sokongan serta-merta pada 1,500 manakala rintangan pada 1,530,” katanya kepada Bernama.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, beliau berkata indeks petunjuk pasaran tempatan ditutup mendatar pada Jumaat susulan hari dagangan yang tenang.

Beliau berkata indeks itu menokok 0.03 mata untuk ditutup pada 1,516.45 dengan kaunter untung didahului oleh Petronas Gas, Kuala Lumpur Kepong dan Genting Bhd.

“Sementara itu, pasaran serantau utama ditutup bercampur-campur berikutan bursa utama di rantau ini, termasuk Hong Kong dan Singapura, ditutup awal sempena malam sambutan perayaan Krismas.

“Di peringkat domestik, kami yakin indeks petunjuk pasaran mungkin meneruskan prestasinya dengan aliran meningkat sehingga akhir tahun susulan prestasi serantau yang lebih rancak,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 14.44 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,516.45 daripada 1,502.01 pada minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 75.19 mata kepada 10,995.51; Indeks FBMT100 menokok 79.0 mata kepada 10,701.71; Indeks FBM Emas Syariah menambah 58.23 mata kepada 11,802.86; FBM ACE susut 37.70 mata kepada 6,240.12 dan FBM 70 naik 3.56 mata kepada 14,003.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 139.54 mata kepada 15,422.62, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.74 mata kepada 197.54 dan Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 13.45 mata kepada 2,198.75.

Indeks Tenaga menambah 8.87 mata kepada 684.32, Indeks Teknologi naik 0.53 mata kepada 94.89 dan Indeks Perladangan menokok 58.54 mata kepada 6,488.51.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 11.92 bilion unit bernilai RM7.28 bilion berbanding 13.77 bilion unit bernilai RM10.46 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 6.99 bilion saham bernilai RM6.28 bilion daripada 9.04 bilion saham bernilai RM9.41 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran sebanyak 908.21 juta unit bernilai RM124.28 juta berbanding 1.20 bilion unit bernilai RM185.66 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 3.71 bilion saham bernilai RM871 juta daripada 3.56 bilion saham bernilai RM866.97 juta pada minggu lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast