Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan fungsi MySejahtera Trace (MySJ Trace) dalam aplikasi MySejahtera.

Ia merupakan fungsi tambahan bagi memudahkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan Covid-19 dengan menggunakan teknologi bluetooth.

Fungsi MySJ Trace dibangunkan bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate dan Support (FTTIS) dalam pencegahan dan mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan Covid-19, pengguna mestilah mengaktifkan bluetooth dalam peranti mudah alih masing-masing sepanjang masa.

“Apabila sesorang individu itu disahkan positif Covid-19, notifikasi akan diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kebenaran untuk berkongsi maklumat kontak rapat yang dikesan.

”Selepas kebenaran diberikan, Kementerian Kesihatan akan menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat yang dikenal pasti,” kata MOSTI dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, sekiranya individu yang didapati positif Covid-19 tidak memberikan kebenaran, MySejahtera tidak akan memberikan akses kepada Kementerian Kesihatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat akan dilakukan secara manual

“Aplikasi MySJ Trace menggunakan ‘anonymized Unique User ID’ (UUID) dan tidak mengumpul maklumat pengguna serta geo-lokasi. Data ini hanya boleh diakses oleh Kementerian Kesihatan dan disimpan dalam peranti pengguna untuk tempoh 14 hari.

“Keseluruhan proses pengesanan kontak dan penyimpanan data juga adalah dijamin keselamatan dan kerahsiaannya oleh kerajaan,” menurut kenyataan.

Menurutnya, dengan adanya fungsi MySJ Trace ini, modul daftar keluar atau check-out akan diberhentikan dan dikeluarkan daripada aplikasi MySejahtera.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan mengemas kini aplikasi Mysejahtera bagi mengaktifkan MySJ Trace. – MalaysiaGazette