Foto ESPN.

KUALA LUMPUR – Indonesia berjaya melangkah ke pentas final Piala AFF Suzuki 2020  menundukkan Singapura 4-2  menerusi agregat 5-3 pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Nasiobal, Singapura malam tadi.

Pemain muda Garuda berjaya mengambil kesempatan beraksi dengan kelebihan pemain yang bukan sahaja diserikan dengan corak permainan pantas dipamerkan kedua-dua pasukan, malah beberapa keputusan dibuat pengadil perlawanan, Qasim Matar Ali Al Hatmi juga turut mencuri tumpuan.

Ini kerana pengadil dari Oman itu melayangkan kad merah kepada Safuwan Baharudin dan Irfan Fandi pada setiap babak yang nyata menimbulkan kemarahan penyokong tuan rumah.

Malah, Hassan Sunny turut menerima nasib yang sama pada lewat masa tambahan.

Ezra Walian meletak Indonesia di depan apabila dia mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Witan Sulaeman dari sebelah kiri pintu gol untuk memberikan kelebihan buat Indonesia.

Ketika Indonesia giat melancarkan serangan, Singapura mencuri peluang dengan mendapatkan sepakan percuma di sebelah kiri dan ketika situasi itulah Safuwan diperintahkan keluar padang berikutan pergeserannya bersama pemain pertahanan Indonesia pada masa kecederaan babak pertama.

Ketika Singapura berusaha untuk memperkemaskan aksi pada separuh masa kedua, mereka kehilangan seorang lagi pemain apabila Irfan Fandi pula dilayangkan kad mereka susulan kekasaran dilakukannya terhadap Irfan Jaya pada minit ke-67.

Stadium Nasional kembali bergema ketika permainan memasuki minit ke-74 apabila sepakan percuma berkelas dunia daripada Shahdan Sulaiman berjaya membolosi gawang Nadeo untuk meletakkan Singapura pula dihadapan.

Singapura kemudiannya terlepas peluang keemasan untuk mendapatkan jaringan kemenangan selepas Faris Ramli gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diterima pada masa kecederaan.

Beraksi di masa tambahan dengan kelebihan dua orang pemain jelas digunakan dengan cukup baik oleh barisan pemain Indonesia yang mana skuad Garuda itu menambah dua jaringan sumbangan gol sendiri Shawal Anuar dan Egy Maulana Vikri.

Hassan Sunny yang menjadi antara watak penting buat Singapura turut terpaksa meninggalkan padang sebelum wisel penamat apabila kekasaran terhadap Irfan Jaya menyebabkan beliau diperintahkan keluar padang memaksa Ikhsan Fandi menggantikannya sebagai penjaga gol.

Kemaraan ke final buat kali keenam itu menyaksikan Indonesia bakal menanti pemenang antara Thailand dan Vietnam yang akan beraksi malam ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast