Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan sesuatu dengan ahli kariah ketika melawat keadaan salah sebuah surau yang terjejas akibat banjir di Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 DISEMMBER 2021.

HULU LANGAT – Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyelaras pengurusan pasca banjir yang melanda negara mutakhir ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  pasukan itu akan membuat persiapan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

“Kita kena bersedia sebab dari segi ramalan cuaca mungkin akan berlaku hujan lebat semula.

“Jadi kita bimbang akan berlaku banjir kilat sekali lagi dan juga proses pasca banjir seperti bantuan pembaikan rumah perlu disegerakan,” katanya dalam sidang media di Masjid Al-Muttaqin, Hulu Langat.

Pasukan itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Beliau mengarahkan pasukan petugas khas ini memulakan mesyuarat secepat mungkin bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Esok terus panggil mesyuarat untuk kita segerakan dan idak mahu tindakan yang terlalu banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam satu-satu masa dan akhirnya akan menyebabkan kelewatan.

“Saya tidak mahu sedikit pun kelewatan untuk membantu rakyat kita akibat banjir,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berkata, kerajaan akan menambah peruntukan kepada mangsa-mangsa banjir sekiranya peruntukan RM100 juta yang diumumkan sebelum ini tidak mencukupi.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi membaiki kerosakan kediaman dan infrastruktur akibat banjir.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju memberikan sumbangan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara. – MalaysiaGazette