Friday, April 26, 2024
Home Utama Projek Lebuhraya EKVE penyumbang banjir Hulu Langat, kata Ismail Sabri

Projek Lebuhraya EKVE penyumbang banjir Hulu Langat, kata Ismail Sabri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 DISEMMBER 2021.

HULU LANGAT – Projek pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara faktor yang menjadi punca banjir lumpur di sekitar Taman Sri Nanding.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hasil pemantauan mendapati pembinaan projek itu menyebabkan longkang tertutup, sekali gus menganggu sistem saliran air.

“Banjir ini bukan saja disebabkan oleh air hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.

“Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku,” katanya dalam sidang media di Masjid Al-Muttaqin selepas mengadakan lawatan di rumah mangsa-mangsa banjir, hari ini.

Sebelum ini fenomena sama dilihat di Kampung Lembah Jaya Utara pada 23 November lalu yang menyebabkan banjir lumpur di kawasan itu.

Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin turut berkata, tanah yang tergelongsor dari projek EKVE berhampiran masuk ke Sungai Ampang mengakibatkan sungai berkenaan menjadi cetek.

Penduduk di Lembah Jaya sebelum ini mengadu bahawa projek itu telah mengakibatkan sisteem perparitan menjadi sempit dan strukturnya tidak sempurna.

Projek lebuh raya itu menghubungkan Bandar Sungai Long dan Ukay Perdana sejauh  24.16 kilometer dan 12 kilometer.

Pada bulan Februari tahun ini, pemaju projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) diberi tempoh dua bulan bagi menyelesaikan kerja baik pulih tebing sungai, penstabilan dan penutupan cerun terdedah, selain menyelenggara sebahagian cerun berhampiran Sungai Ampang bagi mengelakkan pencemaran sungai.

Arahan itu berikutan pemantauan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati, masih terdapat pencemaran sungai di Hutan Lipur Ampang berhampiran ‘Intake‘ Loji Rawatan Air (LRA) Ampang. – MalaysiaGazette